
Dengan jualan 240,341 kenderaan pada 2019, Perodua telah memecahkan rekod jualan tahunannya, iaitu 227,243 unit pada 2018. Ini didorong oleh permintaan yang kekal tinggi untuk semua modelnya – mengikut urutan menaik, Alza, Aruz, Bezza, Axia dan Myvi.
“Pencapaian ini di luar jangkaan kami. Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Didorong permintaan yang tinggi, kami menjangkakan prestasi jualan kami tahun ini setanding dengan tahun lepas. Kami menetapkan sasaran jualan 240,000 unit untuk 2020 dan optimis ia boleh dicapai walaupun persaingan dijangka bertambah sengit tahun ini,” tambahnya.
Angka jualan 2019 Perodua mewakili peningkatan 13,098 unit (+5.8%) berbanding 2018, dan merupakan angka jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat tersebut.
“Berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 604,775 unit, Perodua menguasai hampir 40% pasaran Malaysia, berbanding 38% tahun lepas,” ujar Dato’ Zainal.
Setakat ini, lebih 2,000 unit Perodua Bezza 2020, yang dilancarkan dua minggu lalu, telah menemui pemiliknya daripada 15,000 tempahan yang merangkumi 8,000 tempahan untuk model sebelumnya yang telah ditukar kepada model terkini.
Dari segi eksport 2019, Bezza menjadi sedan bawah-1.0 liter terlaris di Sri Lanka, manakala Perodua memasuki pasaran baharu, Seychelles.
“Walaupun eksport kami kekal berskala kecil pada kira-kira 2,800 unit tahun lepas, kami akan teruskan usaha membina jenama kami di peringkat antarabangsa ke arah meningkatkan angka tersebut tahun ini,” ujar Dato’ Zainal.
Pada sesi yang sama, Perodua turut mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah SUV baharu segmen lain tahun ini dengan enjin 1.0-liter turbo.
Model berasaskan Daihatsu Rocky itu kini dikenali sebagai D55L dan mungkin akan diberi nama Kembara semasa dilancarkan secara rasmi nanti.