Pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP mengumumkan Fabio Quartararo secara rasmi sertai Yamaha dan akan menjadi rakan sepasukan Maverick Vinales pada MotoGP musim 2021-2022.
Ini bermakna Valentino Rossi harus melepaskan posisinya dan harus segera mencari posisi di pasukan lain yang ingin menerimanya jika ingin tetap berlumba MotoGP 2021.
Mengenai Fabio Quartararo rasmi sertai Yamaha yang diumumkan secara langsung di laman web rasminya, mereka mempunyai sebab kenapa Quartararo dipilih.
Yamaha menganggap Fabio Quartararo mempunyai bakat dan potensi yang unik di masa depan.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan Fabio Quartaro menyertai pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP. Permulaannya di MotoGP sangat sensasi, 6 petak permulaan depan dan naik 7 podium adalah bukti yang cukup untuk bakatnya,” kata Lin Jarvis, Pengarah Urusan Yamaha Factory Racing Team.
“Dia berusia 20 tahun, tetapi dia kelihatan sangat matang dalam motosikal dan di luar perlumbaan. Fabio dan Maverick akan menjadi senjata kami untuk membangunkan YZR-M1 dan mencapai kemenangan di masa depan,” jelas Lin.
Fabio Quartararo amat bangga dengan keputusan ini dan akan memberikan hasil yang terbaik.
“Ia tidak mudah untuk mencapai ini. Sekarang rancangan saya untuk tiga tahun akan datang adalah jelas dan sudah tentu saya sangat gembira,” kata pelumba bernombor 20 itu.
Bergabung dengan Yamaha Factory Racing Team adalah motivasi besar dalam kehidupan Quartararo untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam MotoGP.
“Saya tidak sabar untuk mencuba YZR-M1 semasa ujian. Dan sudah tentu saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing. Pasukan ini telah memberikan saya peluang untuk menyertai MotoGP pada 2019 supaya saya dapat peluang ini sekarang,” katanya.