Toyota mengumumkan bahawa pihaknya akan mula menghasilkan semula beberapa alat ganti untuk model Toyota Supra A70 dan A80 melalui program GR Heritage Parts Project.
Alat ganti bagi Supra generasi ketiga dan keempat itu kemudiannya akan dijual kepada pelanggan Jepun dan juga pasaran antarabangsa. Projek itu adalah satu inisiatif untuk mula mengeluarkan alat ganti yang tiada lagi dalam pasaran.
Ini untuk memastikan pemilik Toyota Supra A70 dan A80 dapat terus memandu kereta mereka pada masa akan datang. Setakat ini, hanya beberapa komponen diumumkan akan dikeluarkan semula menerusi projek itu.
Alat ganti untuk Toyota Supra A70 membabitkan propeller shaft, pemegang pintu, fuel sender gauge, jalur cuaca (weather strip) serta logo kereta. Manakala A80 Supra pula akan ditawarkan dengan lampu depan, pemegang pintu dan booster brek.
Toyota berharap dalam memulakan jualan runcit alat ganti itu pada tahun ini tetapi mengingatkan bahawa mungkin proses pengeluaran ditangguhkan hingga tahun 2021.
Pada masa sama, Toyota juga mempamerkan beberapa alat ganti yang dihasilkan semula itu di pameram Tokyo Auto Salon, baru-baru ini.
Pemilik-pemilik Supra kedua-dua generasi itu boleh mengemukakan permohonan atas talian untuk cadangan alat ganti lain. Maklumat ini akan dipertimbangkan sama ada alat ganti lain yang ada permintaan tinggi sebelum ditawarkan ke pasaran.
Toyota bukan syarikat pertama memperkenalkan program warisan seperti in, Pada 2017, Nissan mengumumkan tawaran alat ganti untuk model Skyline R32, R33 dan R34. Mazda pula ada menjalankan program tawaran komponen bagi model MX-5 Miata.