Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 577 notis advokasi kepada para pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sejak peraturan itu diwajibkan sejak 1 Januari lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun tiada saman akan dikeluarkan sehingga Jun ini, namun notis advokasi yang dikeluarkan oleh JPJ itu bagi menasihati pemandu untuk menggunakan CRS ketika membawa penumpang kanak-kanak.
“Ia hanya notis advokasi, bukan saman. Kalau ada saman tolong tunjukkan. Kita sudah jangka tidak mudah untuk mendapat kerjasama atau pematuhan sepenuhnya dalam nak memperkenalkan satu peraturan baru,” katanya.
Anthony Loke Siew Fook berkata pendekatan ‘soft landing’ diambil bagi memberi masa yang lebih panjang kepada ibu bapa dan pengguna untuk memahami keperluan dan pentingnya CRS ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober lalu mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari 2020.
Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan untuk menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.
Langkah itu dibuat susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga tahun 2017.