Dua pemilik Mercedes-AMG A45 kuning termasuk suami pengasas produk kosmetik didenda RM500 dan digantung lesen memandu selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana memandu laju kereta mewah tersebut, bulan lalu.
Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Arif Md Nor, 31, (suami pengasas produk kosmetik) dan rakannya, Ahmad Sufian Abdullah, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, kedua pemilik Mercedes-Benz kuning itu didakwa secara bersama-sama berada di atas jalan bagi tujuan menduga kelajuan. Kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna kuning yang digunakan bernombor pendaftaran AKU 7471 dan F 2239.
Kesalahan dilakukan pada 2 pagi, 17 Januari lalu di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor, berhampiran Pusat Servis Honda Kubang Kerian, Kota Bharu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Siti Aisyah Abdul Manah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Terdahulu, mereka memohon hukuman ringan dan insaf atas kesalahan itu. Bagaimanapun Siti Aisyah memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Mereka kemudian menjelaskan denda dan dibebaskan.