Tular sebuah berita mengenai sebuah kereta Perodua Kancil yang ingin dijual dengan harga RM130,000. Bukan tersilap letak lebih angka 0, memang RM130,000, bukan RM13,000.
Biar betul! Harga dah boleh beli Toyota Corolla Altis 1.8 baru!
Jadi Motoqar menghubungi sendiri pemilik kereta tersebut untuk mendapatkan kepastian dan mengupas lebih lanjut.
Kereta Kancil ini dimiliki oleh Tuan Faddly Tuan Muda, yang juga merupakan pemilik Paka Turbo Garage.
Untuk anda yang kurang familiar, Paka Turbo Garage ialah pengimport dan penjual barangan half-cut ternama untuk kereta-kereta Kei Car (k-car). Mereka mempunyai bengkel di Dungun, Terengganu dan gudang di Kuantan, Pahang.
Untuk peminat k-car yang datang ke bengkel mereka, pasti ibarat berada di syurga!
Mengenai Kancil RM130k itu, menurut Faddly atau lebih dikenali dengan nama Lee, kereta itu sebenarnya adalah sebuah Daihatsu Mira.
Bukan Mira jadian atau convert, sebaliknya Daihatsu Mira L512 Avanzato TR-XX original dari Jepun! Model ini hanya datang badan 3-pintu, tidak seperti Perodua Kancil atau Daihatsu Mira biasa yang hadir dengan 5-pintu.
Spesifikasi asal Mira Avanzato TR-XX ini dilengkapi dengan enjin EF-VE 659cc 4-silinder yang mampu menghasilkan 64hp dan 100Nm tork.
Menurut Lee, kos membeli kereta ini berserta aksesori menelan belanja kira-kira RM115,000. Aksesori lampu dan barangan krom ini sahaja sudah bernilai belasan ribu ringgit.
Tambahnya, dia tidak pernah berniat pun hendak menjual Mira ini tetapi disebabkan permintaan peminat yang merisik untuk membeli kereta ini, dia bersetuju dengan harga tawaran RM130,000.
Cuma, Lee masih belum pasti untuk benar-benar menjualnya atau tidak. Mana taknya, ini memang kereta spesies terancam. Difahamkan hanya ada 4 buah sahaja model sebegini di Malaysia.
Kalau kami pun yang memiliki kereta ini, memang simpan di rumah sahaja jadi garage queen!
Apa pendapat anda? Berbaloikah ‘Perodua Kancil’ berharga RM130k? Atau anda rasa lebih baik beli kereta baru yang lebih besar?