Hyundai Motors akan memperkenalkan konsep sedan sport elektrik pertamanya di Geneva Motor Show 2020, Geneva, Switzerland, pada 3 Mac yang akan datang. Menjelang kehadirannya, teaser kereta yang digelar sebagai Prophecy ini telah disiarkan.
Pengeluar kereta dari Korea Selatan ini berkata kereta itu merangkumi falsafah reka bentuk ‘Sensualous Sportiness‘. Teaser ini menampilkan reka bentuk belakang kenderaan termasuk reka bentuk lampu belakang khas dari decklid serta dua lampu brek menegak yang disertakan pada bahagian bampar.
“Kereta ini menyerlahkan keindahan reka bentuk yang akan bertahan lama. Reka bentuk ikoniknya adalah untuk memperluaskan spektrum reka bentuk Hyundai ke arah yang lebih luas,” kata Ketua Pusat Reka Bentuk Global Hyundai, SangYup Lee.
Konsep ini akan menentukan arah reka bentuk Hyundai pada masa akan datang dan menjadikannya ikon reka bentuk untuk kenderaan elektrik (EV) Hyundai.
Masih tidak diketahui sama ada Hyundai akan menjadikan Prophecy kenderaan produksi atau tidak. Teaser konsep sedan sport elektrik pertama Hyundai ini muncul sejurus selepas Hyundai memperkenalkan EV Canoo untuk membangunkan platform kenderaan elektrik berdasarkan reka bentuk skateboard.