Penamat penuh aksi untuk Vios Challenge Pusingan 3, beberapa insiden hingga kereta keselamatan masuk

2352

Hari kedua dan terakhir untuk Pusingan 3 Toyota Gazoo Racing dan Toyota Vios Challenge berakhir dengan tiga perlumbaan dramatik di litar Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Aksi dalam kelas-kelas Super Sporting, Sporting dan Promotional menyaksikan lebih 15,000 penonton terhibur dengan semua yang disajikan.



Kelas Super Sporting

Freddie Ng (Telegamas Toyota) merangkul kejuaraan Race 2 di depan William Ho (Toyotsu) dan juara bertahan Boy Wong.

 

Freddie memecut mendahului perlumbaan dan terus mengepalai perlumbaan 22-pusingan itu dari mula hingga akhir. Ho mengejar di belakang tetapi tidak mempunyai ruang memotong.

“Saya bermula dengan baik dan cuba menjauhi pesaing di belakang. William berada dekat di belakang tapi saya berjaya mengekalkan rentak yang baik hingga penamat.

“Hari ini juga sangat panas,” kata Ng yang kini di tempat ketiga keseluruhan dan masih berusaha untuk mengejar kejuaraan dengan baki perlumbaan yang ada.

Untuk Ho, tempat kedua sangat baik buatnya untuk terus memberi harapan kejuaraan padanya.

Perlumbaan bagaimanapun tidak begitu memihak kepada Tengku Djan Ley pada Race 1 yang terlebih laju di pusingan pertama dan bergesel dengan penghadang konkrit. Tayar kanan belakang yang rosak memaksanya masuk pit dan kembali berlumba dua pusingan kemudian.

Kelas Sporting

 

Persaingan di kelas Sporting tidak kurang juga sengitnya dengan dua insiden yang menyebabkan kereta keselamatan masuk.

Bermula di petak depan, Tom Goh (S&D Tama Motorsports) berada di depan memasuki selekoh pertama di depan Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser), Adam Khalid (Crestmax Motorsports) Haji Sutan Mustaffa Salihin (SMS Motorsports) dan Kenneth Koh (panglima City Racing Team).

Perlumbaan bagaimanapun dihentikan lebih awal di pusingan kedua selepas perlanggaran 6 kereta. Apabila perlumbaan dimulakan semula dengan kereta keselamatan, 4 dari 16 kereta telah disingkirkan.

Goh meneruskan pemanduannya dan membina jarak lebih 2 saat manakala Haji Sutan dan Bradley Benedict berentap merebut tempat kedua.

Di akhir perlumbaan, kereta Shanmuganathan Arumugam terpusing dan memaksa kereta keselamatan masuk sekali lagi.

Ini memadamkan terus apa sahaja jarak yang dibuat oleh Goh, dan dengan perlumbaan berbaki dua pusingan, Bradley Benedict berjaya merampas tempat pertama. Goh tamat di tempat kedua dan Haji Sutan di tempat ketiga.

Kelas Promotional

Dalam kelas pelumba selebriti ini, Shukri yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee sekali lagi tamat di podium dengan perlumbaan 20-pusingan yang juga mengujakan.

Shukri paling awal di depan, beranjak dari tempat ke-4 kepada tempat ke-2, memotong penyanyi Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Pelakon Janna Nick memanfaatkan petak pertamanya dengan mengepalai perlumbaan selama 2 pusingan sebelum terpaksa memberi ruang kepada Shukri yang jelas lebih pantas.

Menjelang pusingan ke-4, Nabil juga merampas tempat kedua dari Janna yang kemudiannya terpaksa bertahan dari Lee.

Janna mempertahankan kedudukannya dengan baik tetapi sedikit sentuhan dengan Lee pada 4 pusingan terakhir menyebabkannya terpusing 180-darjah. Pelakon Janna Nick dan Nabila berjaya mengelak Janna, namun pelakon Syafiq Kyle terlanggar keretanya.

Untuk peminat di Pulau Pinang, keterujaan dari TGR Festival juga hadir dari aktiviti pandu uji model-model Toyota baharu, persembahan drift oleh pemandu Jepun dengan kerjasama Toyo Tires, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas, persembahan selebriti, cabutan bertuah dan macam-macam lagi.

Tarikan lain adalah persembahan dan jualan barangan motosikal oleh Harley-Davidson dan Moto Guzzi, pertandingan Beyblade, jualan Hot Wheels, konsert Hujan dan persembahan Art of Speed.

Sebagai bonus, semua kenderaan Toyota yang dibeli semasa festival itu hadir dengan baucar servis RM200.

Kelas Promotional

  1. Shukri Yahaya
  2. Nabil Ahmad
  3. Shawn Lee
  4. Diana Danielle
  5. Nabila Razali 

Kelas Sporting

  1. Bradley Benedict Anthony – Dream Chaser
  2. Tom Goh – S&D Tama Motorsports
  3. Haji Sutan Mustaffa – SMS Motorsports
  4. Adam Khalid – Crestmax Motorsports
  5. Kenneth Koh – Panglima City Racing Team

Kelas Super Sporting

  1. Freddie Ang – Telagamas Toyota
  2. William Ho – Toyotsu
  3. Boy Wong
  4. Syafiq Ali – M7 Japan Project Team
  5. Mark Darwin – Laser Motor Racing

Foto oleh: Raziman SiPico, Redox Projek dan jurugambar rasmi UMW Toyota

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here