Anda peminat Batman? Pernah terfikir untuk memiliki sebuah Batmobile sendiri untuk dipandu pergi ke kerja dan balik kampung? Tapi sudah tentu idea itu tidak logik.
MINI Malaysia telah memperkenalkan sebuah kenderaan yang mungkin dapat memenuhi imaginasi anda itu, iaitu Countryman Blackheath Edition.
Terhad kepada 48 unit sahaja di Malaysia, MINI Countryman edisi ini merupakan satu gambaran mengenai kawasan gelap di Blackheath, di Tenggara London, UK.
Sebagai sebuah edisi istimewa pertama Countryman generasi ini, Blackheath ini menampilkan warna Midnight Black eksklusif, kemasan hitam kusam di bonet dengan aluminium, dan kemasan Piano Black di keliling lampu, gril depan, pembuka pintu, logo depan dan belakang serta lencana pintu belakang.
Di dalam, tema sama diteruskan dengan pelapik siling Anthracite, tempat duduk sports Carbon Black dan sistem pencahayaan MINI Yours Illuminated berwarna hitam.
Terdapat juga sistem audio premium Harman Kardon dengan amplifier DSP dan teknologi Class-D dengan output 360-watt.
Bahagian lain kereta ini tidak berubah, ia sama seperti Countryman S tetapi dilengkapi dengan pakej John Cooper Works. Pakej ini diberikan untuk lampu kabus LED, rim JCW 19-inci, perumah cermin sisi, dan kit badan aerodinamik JCW.
MINI Countryman Blackheath Edition ini dipacu oleh enjin 2.0-liter TwinPower Turbo yang dipertingkat yang menghasilkan 192hp dan 280Nm tork.
Dipadan pula dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, ia memberikan pecutan 0-100km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksima 225km/j.
MINI ini juga mendapat sistem navigasi yang boleh dikawal dari skrin 8.8-inci, konsol tengah atau arahan suara.
Terdapat juga sistem MINI Connected yang merangkumi teknologi 4G SIM untuk kegunaan telefon pintar 4G, Intelligent Emergency Call dan MINI TeleServices.
Ciri sampingan lain untuk fungsi keterhubungan adalah MINI Connected App yang mempunyai Concierge Service, Apple CarPlay, dan MINI Online yang membolehkan perancangan mobiliti dibuat untuk pergerakan seharian anda.
MINI Countryman Blackheath Edition ini dijual pada RM253,888 dan dengan Balloon Financing, ia boleh menjadi milik anda dari RM2,908 sebulan (berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus untuk tempoh 5-tahun).