Setelah tempahannya mula dibuka pada September lepas, Honda Civic 2020 versi facelift akhirnya dilancar hari ini.
Ditawarkan dalam tiga varian, harganya adalah seperti berikut:
1.5 TC-P: RM139,600
1.5 TC: RM129,600
1.8 S: RM113,600
Pembaharuan utama pada Civic 2020 ini ialah Honda SENSING, iaitu pakej keselamatan canggih dan maju yang juga terdapat pada CR-V dan Accord.
Honda SENSING pada Civic akan merangkumi sistem bantuan seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High-Beam (AHB).
Civic ini juga kini mendapat fungsi Honda LaneWatch, iaitu kamera pada cermin sisi kiri yang akan membantu pemandu memantau kawasan titik buta di bahagian itu.
Dari segi penampilannya, Honda Civic facelift ini mendapat kemasan hitam di gril depan berbanding krom pada sebelum ini. Lampu depan LED dan lampu kabus LED adalah standard.
Di belakang pula, terdapat spoiler dan kemasan bampar baharu yang juga berwarna hitam. Unik kepada varian 1.5 TC-P ialah rim aloi 18-inci baharu.
Ruang dalaman dikatakan “seperti kenderaan segmen-D”, yang merangkumi tempat duduk kulit, penggilap cermin depan automatik, tempat duduk pemandu berkuasa dengan 8-pelarasan, dan penampilan suis stereng yang dikemaskini.
Varian 1.5 TC-P dan 1.5 TC dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo L15B7 yang menjana 173hp dan 220Nm tork. Untuk varian 1.8 S pula, enjin 1.8-liter naturally-aspirated ini menghasilkan 141hp dan 174Nm tork. Tidak kira enjin mana pun, transmisi adalah sama iaitu CVT Earth Dreams.
Ciri standard lain adalah brek parkir elektrik, butang hidup enjin kawalan jauh, unit infotainmen dengan paparan 7-inci, 6 beg udara, pengesan parkir depan, Vehicle Stability Assist, Agile Handle Assist, ABS, EBD, Brake Assist, Emergency Stop Signal, Hill Start Assist dan kamera undur.
Lawati mana-mana 100 wakil pengedar Honda sah seluruh negara untuk melihat dengan lebih dekat dan membuat tempahan.