Hyundai Motor telah mendedahkan perincian i30 sebelum Geneva Motor Show. i30 untuk tahun 2020 akan membawakan rekabentuk lebih kemas, sistem keterhubungan, dan kecekapan bahan api lebih baik dengan sistem hibrid 40-volt.
Untuk varian prestasi N Line pula, kini boleh didapati dalam bentuk Wagon. Kemasan ini boleh terus didapati untuk i30 hatchback dan fastback.
Rekabentuk lebih moden
Penampilan i30 baharu kini lebih kemas dan menonjol. Rupa depan nampak lebih lebar dan moden dengan gril yang menampilkan rekaan 3-dimensi. Lampu depan pula lebih nipis dengan pilihan teknologi LED multifaceted reflector (MFR) dan lapu LED DRL bentuk baharu.
Di belakang, i30 5-pintu dipertingkat dengan bampar baharu yang dibangunkan untuk memberi prestasi aerodinamik. Pilihan rim adalah sama ada aloi 16-inci atau 17-inci.
Pilihan N Line untuk semua bentuk badan
Pilihan prestasi yang lebih dinamik dan sporti, N Line selama ini boleh didapati pada Hatchback dan Fastback. Kini buat pertama kali, ia juga boleh didapati pada Wagon.
Pakej N Line baharu memberikan rekabentuk lebih sporti dan menyerlah. Di depan, terdapat gril lebih lebar dan lampu depan berbeza.
Gril bawahnya mengambil inspirasi jet dengan ruang kemasukan udara yang lebih besar dan mendominasi ruang bampar, menunjukkan stance yang kemas. Ia juga lebih aerodinamik.
Rekaan bampar belakang N Line pula telah mengubah posisi lampu kabus ke tengah, menjadikan i30 nampak lebih lebar dan rendah.
Berbanding i30 biasa, N Line memberikan pilihan rim lebih besar, iaitu 17- dan 18-inci. Bahagian casis pula dipertingkat dengan suspensi dan stereng yang ditala semula.
i30 2020 mendapat tiga pilihan warna baharu – Dark Night, Silky Bronze dan Sunset Red. Enam warna lama Polar White, Phantom Black, Engine Red, Stellar Blue, Platinum Silver dan Olivine Grey akan terus ditawarkan.
Pelbagai pilihan powertrain
Hyundai i30 2020 akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan janaan kuasa dan transmisi, dari petro, diesel dan hibrid.
Pertamanya ialah enjin 1.5-liter petrol Dual Port Injection berkuasa 110hp dan transmisi manual 6-kelajuan.
Untuk lebih oomph, terdapat 1.0-liter T-GDI turbo petrol dengan 120-hp dan transmisi dwi-klac 7-kelajuan baharu. Enjin ini juga kini boleh didapati dengan pilihan teknologi hibrid 48-volt Mild Hybrid.
Untuk yang selalu memandu jauh, enjin 1.6-liter diesel berkuasa 115hp boleh dipilih dengan manual 6-kelajuan atau dwi-klac 7-kelajuan.
Pilihan tertinggi ialah 1.5-liter T-GDI turbo petrol dengan 160hp yang hadir standard dengan teknologi hibrid 48-volt. Kedua-dua transmisi manual 6-kelajuan dan dwi-klac 7-kelajuan boleh dipilih.
Ciri keterhubungan terkini
Selaras dengan kegunaan telefon pintar hari ini, Hyundai i30 akan mendapat ciri keterhubungan terkini iaitu kluster instrumen digital 7-inci dan sistem navigasi 10.25-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Ia juga dilengkapi dengan fungsi pengecaj dan mirroring tanpa wayar.
Ciri keselamatan baharu pula termasuklah Lane Following Assist (LFA), Rear Collision-avoidance Assist (RCA), Leading vehicle Departure Alert (LVDA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA).