Merasa pandu kereta lumba US Legend – macam lumba NASCAR!

3236

Pandu uji kali ini agak istimewa, kerana ia bukanlah kereta kelaziman yang anda boleh beli dari bilik pameran. Tetapi, ia sebuah jentera perlumbaan.

Kereta yang dimaksudkan ialah US Legend Car, iaitu salah satu dari dua jenis jentera dalam kejuaraan Liqui Moly US Legend Championship Malaysia yang baru sahaja dilancarkan.



Ia telah berada di negara kita sejak 2018, tetapi pelancarannya minggu lepas bermakna ia kini dianjurkan dalam satu format kejuaraan penuh. Untuk anda lebih mengetahui mengenai US Legend Car, boleh baca di sini.

Kereta seberat Perodua Kancil, berenjin 1,200cc

Bayangkan kereta seberat Perodua Kancil (590kg), tetapi disumbat enjin 1.2-liter 130hp dengan transmisi 6-kelajuan. Ya, itu gambaran kasar kemampuan US Legend Car ini.

Dengan angka disebut di atas, Legend Car ini mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat sebanyak 220hp-per-tan. Nisbah ini adalah lebih tinggi dari Subaru Impreza WRX STI S206 (214hp-per-tan), Lotus Exige S2 1.8 (213hp-per-tan) dan Renault Megane RS 275 Trophy R (208hp-per-tan).

Tetapi pemanduan ini langsung tidak melebih kelajuan 100km/j kerana litar bujur (oval circuit) di Gopeng Motor Speedway itu hanyalah sepanjang 240 meter, jadi hanya beberapa saat anda memecut, dah perlu brek dan masuk selekoh.

Namun, dalam jarak jalan lurus tak sampai 100m, jentera ini pernah mencapai 90km/j, rekod dibuat oleh pemandu Australia. Bayangkan betapa cepatnya jentera ini memecut.

Pemanduan mudah, tetapi tetap mengujakan

Sebaik duduk di tempat pemandu, penulis dipasangkan harness oleh krew dan diberikan sedikit penerangan cara memandu jentera US Legend ini.

Cara duduk seperti tidak begitu selesa dengan tempat duduk yang rendah tetapi stereng agak tinggi dan sedikit jauh.

Disebabkan ia menggunakan enjin Yamaha FJ1200, gearnya juga seperti gear motosikal itu. Tolak tuil ke depan untuk gear 1, kemudian tarik untuk ke gear 2 dan seterusnya.

Klac hanya digunakan untuk gear 1, dan kereta akan mula bergerak seperti anda memandu kereta manual biasa. Tetapi untuk menukar ke gear 2 dan seterusnya, hanya perlu lepas sedikit minyak dan terus tarik tuil tanpa menekan klac.

Dan anda perlu pastikan rpm berada agak tinggi untuk menukar gear dengan lebih mudah. Gear seakan ‘terlekat’ suka ditukar apabila rpm rendah, sama seperti motosikal berkuasa tinggi.

Setelah diberikan ‘lampu hijau’, penulis mula mengimbang klac danpendikit minyak dan kereta bergerak dengan lancar. Penulis meluncur dalam gear 1 sepanjang di ‘pit’ dan mula memecut memasuki gear 2 di selekoh.

Pendikit minyaknya agak sensitif. Boleh dikatakan lebih sensitif dari kebanyakan kereta sekarang. Tetapi ini juga bermakna ia memberikan respon yang mantap pada kaki kanan pemandu, memudahkan kita mengawal kereta dengan tepat di situasi perlumbaan.

Dari segi handling atau pengendalian, kereta terasa lincah dan stereng juga begitu hidup. Penulis rasakan ini disebabkan wheelbase (jarak roda depan dengan belakang) yang agak rapat dan wheel track (jarak tayar kiri dengan kanan) yang lebar.

Pendek dan lebar, bermakna kereta sangat lincah di selekoh, cuma jika dalam kelajuan tinggi di jalan lurus, kestabilannya terhad. Tapi setup sebegini sangat sesuai dengan kereta dan litar Gopeng Motor Speedway ini.

Di pusingan kedua, penulis ada ter-oversteer kerana terlebih tekan minyak di tengah selekoh dan terlambat membuat pembetulan counter-steering. Kereta terpusing ke tepi dan enjin mati.

Namun selepas menghidupkan enjin, penulis berhati-hati bergerak semula. Dari saat itu, penulis semakin dapat biasakan diri dan mula mendapat rentak.

Pedal minyaknya sangat mantap kerana kuasa dan responnya membuatkan anda lebih memberi perhatian kepada pemanduan. Asalkan pedal ditekan dengan berkadar bersama sudut input stereng, kereta akan meluncur pecut keluar selekoh dengan pantas dan kemas. Terlebih minyak, anda akan membuang sideways sedikit.

Pengalaman dengan jentera US Legend Cars ini walaupun singkat, sangat bermakna dan unik kerana ia bukan kereta yang lazim kami dapat pandu uji.

Walaupun kadang-kadang ada jemputan pandu uji di Litar Sepang, ia adalah kereta harian biasa yang boleh dibeli, cuma dalam keadaan terkawal untuk push lebih.

Terima kasih kepada pihak US Legend Cars Malaysia atas jemputan dan pengalaman yang diberikan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here