Institusi pengajian tinggi atau universiti biasanya menerima sumbangan berbentuk wang ringgit. Tetapi tidak bagi California State University Fullerton, yang akan menerima sumbangan berbentuk 15 buah kereta klasik yang bernilai USD10 juta (RM41.9 juta).
Koleksi 15 kereta klasik tersebut diderma oleh Nicholas dan Lee Begovich. Begovich adalah naib presiden Hughes Aircraft dan mula mengumpul kereta sport pada awal 1950-an.
Beliau mempunyai koleksi kereta yang besar sejak bertahun-tahun dan kebanyakannya dibeli secara langsung dari kilang. Daripada 15 kereta yang diberikan kepada universiti itu, terdapat Pegaso Z-102 dan cabriolet yang sangat rare.
Hanya 84 unit dari model tersebut yang dihasilkan semasa proses pengeluaran keseluruhan dan Wikipedia mengatakan model 1953 dilengkapi dengan enjin V8 2.8-liter yang mampu menghasilkan 168hp dan 216Nm tork. Enjin tersebut disambungkan kepada transmisi manual 5-kelajuan yang mampu membuatkan jentera ini memecut dari 0-100km/j dalam masa 8.5 saat.
Selain model Z-102 1953 dan 1954, universiti itu akan menerima Lago Grand Sport Talbot 1952, Jaguar XK120 1952 dan Porsche Speedster 1600 Super 1956 . Model lain termasuk Mercedes 300SL Gullwing 1956, Alfa Romeo Giulietta Sprint Speciale 1964 dan Porsche 904 GTS 1964.
Mereka juga akan mendapat ATS 1966, Lamborghini Miura 1969, dan De Tomaso Pantera 1973. Terdapat juga Maserati Bora 1974 dan Ferrari Dino 208 GT4 1975. Selain itu, terdapat juga dua jenama dari Chevrolet iaitu Corvair Monza Spyder 1962 dan Camaro SS 1970.
Setelah Begovich meninggal dunia, koleksi itu akan diberikan kepada universiti, kemudian dijual oleh Cal State Fullerton Philanthropic Foundation. Koleksi itu dilelong dengan bantuan pihak ketiga dan Nicholas Begovich berharap ada pembeli yang boleh “menyimpan sebahagian besar koleksi ini bersama-sama.”