Alfa Romeo telah mendedahkan versi GTA untuk sedan sports Giulia dan dengan itu, memberikan naiktaraf lebih baik dari Giulia Quadrifoglio.
Nama GTA – yang bermaksud Gran Turismo Alleggerita – ialah sama seperti BMW M, Mercedes AMG atau Jaguar SV. GTA juga menunjukkan bahawa kereta ini menggunakan pembinaan bahan ringan dan berunsurkan prestasi, seperti model-model GTA sebelum ini.
Alfa Romeo juga merujuk kepada Giulia GTA sebagai “a momentous comeback” atau kehadiran semula yang penting. Mungkin mereka serius untuk bersaing dengan sedan-sedan prestasi Jerman dan United Kingdom?
Sumber kuasa Giulia GTA ialah dari enjin 2.9-liter V6 twin-turbo yang sama pada Giulia Quadrigoflio, tetapi ditala dengan ekzos titanium Akrapovic untuk menaikkan kuasanya dari 503hp kepada 540hp. Ekzos ini juga pastinya memberikan ia bunyi yang sporti dan merdu.
Prestasi belum disahkan, tetapi ia pasti lebih baik dari angka 0-100km/j dalam 3.9 saat dan kelajuan maksima 307km/j dari Quadrifoglio.
Selain itu, GTA juga telah menjalani ‘diet’ yang mengurangkan beratnya sebanyak 100kg. Diet ini adalah bahan gentian karbon untuk hud, panel bumbung, bampar depan, gerbang roda depan dan belakang, dan driveshaft. Komponen-komponen lain juga dibuat dari aluminium dan bahan komposit untuk mnegurangkan lagi berat.
Prestasi kendalian dan kawalan di selekoh juga pasti lebih baik, kerana ia mendapat sistem suspensi khas dan track tayar lebih lebar 50mm di depan dan belakang.
Perubahan rupanya terdiri daripada pakej aerodinamik yang diinspirasikan dari F1, merangkumi splitter depan lebih besar, diffuser belakang gentian karbon, dan spoiler belakang. Terdapat juga rim 20-inci dengan centre-lock dan kabin dalaman yang dibaluti Alcantara.
Seperti pesaingnya iaitu Jaguar XE SV Project 8, Alfa Romeo GTA juga boleh didapati dalam versi hardcore untuk kegunaan di litar, dengan tempat duduk belakang yang digantikan dengan bar guling.
Versi ini dinamakan GTAm, ia tetap boleh dipandu di jalanraya, tetapi tempat duduk depan diganti dengan tempat duduk perlumbaan dari gentian karbon dan harness 6-poin. Ia dilengkapi spoiler lebih besar dan mampu mencapai 0-100km/j dalam hanya 3.6 saat.
Alfa Romeo dikatakan akan mengeluarkan 500 unit Giulia GTA dan Giulia GTAm ini, dengan harga lebih sedikit dari £100,000 (RM537,298).
Model GTA pertama dari Alfa Romeo adalah Giulia Sprint 1965, yang menggunakan badan aluminium dan seberat hanya 745kg. Ia memberikan kereta itu kelebihan dalam perlumbaan dan menjadi sedan sports paling dihormati.