Sebuah supercar iaitu McLaren Senna terjejas teruk akibat terbakar di Braga, salah sebuah bandar di Portugal. Masih belum banyak butiran tentang kejadian ini, tetapi dikatakan api yang marak berpunca dari bahagian enjin jentera itu.
Gambar yang diambil menunjukkan pihak penguatkuasa sedang memeriksa jentera itu selepas memadamkan api. Gambar-gambar ini dikongsi secara dalam talian oleh pengguna Facebook, Paulo Alexandre dan diterbitkan oleh CM Jornal. Tiada maklumat mengenai berapa banyak kerosakan yang dialami oleh jentera ini.
Senna tersebut dipercayai milik seorang ahli perniagaan di Portugal. Bahagian luar jentera ini kelihatan gabungan warna matte ungu dan matte kuning.
Selepas kejadian ini, McLaren mengumumkan penarikan semua unit Senna yang dijual di Amerika Syarikat dan Australia.
Untuk maklumat, jentera ini dijual dalam unit yang terhad iaitu hanya 500 unit. Jentera ini berharga 750,000 pound sterling (RM4 juta). Jentera ini dikuasakan oleh enjin V8 4.0-liter twin-turbo yang mampu menghasilkan 789hp dan 800Nm tork.
Senna dipasang menggunakan tangan dan mengambil masa 300 jam di Pusat Pengeluaran McLaren, Woking, Surrey, England.