Sebagai pemilik atau peminat Yamaha RXZ, selain dikaitkan dengan jual beli harga gila dan luar biasa, mereka juga biasa terlibat dengan ride atau konvoi berkumpulan.
Namun sedikit berbeza bagi Marzuadi, beliau nampaknya lebih gemar ride secara solo. Mencari lebih kebebasan dan ketenangan, mungkin? Ya lah, kerana tak perlu begitu terikat dengan peraturan dan aturcara yang dirancang dalam konvoi.
Walaubagaimanapun, ride solo pula terdedah dengan risiko keselamatan seperti kemalangan, kerosakan di tengah jalan, selain masalah sampingan lain seperti mencari tempat tinggal dan berehat.
Tapi, barulah adventure, betul tak? Kata ‘rider kental’!
Berbalik kepada Marzuadi atau nama penuhnya Marzuadi bin Abdul Ghani, 37 tahun, beliau telah menjalankan ride solo bersama motosikal Yamaha RXZ miliknya baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, destinasi atau laluan dipilihnya bukanlah ke tempat-tempat peranginan popular seperti Pantai Port Dickson atau Cameron Highlands, sebaliknya beliau memilih untuk ride dan singgah di 12 masjid seluruh negara!
Amacam, rare tak?
Jadi, Motoqar telah menghubungi sendiri Marzuadi di Facebook miliknya yang bernama Sang Penembak Cahaya untuk mengorek maklumat dengan lebih lanjut.
Melalui ruangan di Group Facebook KOMUNITI RXZ SE-MALAYA OFFICIAL, Marzuadi telah berkongsi gambar dan senarai masjid-masjid yang telah disinggah.
Berikut adalah tulisannya:
“Ride solo 12 Masjid
Alhamdulillah atas doa kalian.. Aku selamat sampai dalam masa 3 hari
Spec motor: Motor 135cc, rim aloi 2.15×18, tayar depan Sime Tyre 2.50 dan belakang Viva 2.50
Laluan
Masjid Al-Azim, Melaka
Masjid Negeri Sembilan
Masjid Sultan Salahudin Aziz Shah, Selangor
Masjid Negara Kuala Lumpur
Masjid Sultan Idris Shah, Perak
Masjid Negeri Pulau Pinang
Masjid Zahir Kedah
Masjid Negeri Arau, Perlis
Masjid Muhammadi Kelantan
Masjid Abidin Terengganu
Masjid Sultan Ahmad Shah, Pahang
Masjid Sultan Abu Bakar, Johor
Anggaran Total KM perjalanan
17++km Solo Day Night Ride On”
Fuh hampir 2,000km tu dalam masa 3 hari sahaja!
Marzuadi yang berasal dari Kg Brunie, Membakut, Sabah dan bekerja sebagai Fleet Manager di Tryke Co. Johor telah berkongsi kepada kami bahawa, dia sebelum ini pernah berdoa selepas solat untuk membuat ride solo ini.
“Dulu pernah terniat dalam doa selepas solat nak ride 12 masjid, tapi tak berkesempatan sebelum ni,” katanya.
“Tapi hari tu tergerak hati nak keluar jelajah 12 masjid tu. Antara sebab saya pilih hari tu untuk keluar ialah sebab malam tu 1 Rejab (Selasa, 25 Februari 2020).”
Berkenaan motosikal RXZ miliknya, Marzuadi berkata motornya ialah RXZ biru 6-speed 1st model, model asal merupakan RXZ Tenaga biru (Bajak Energy) tahun 1991.
Dia telah memiliki motosikal RXZ itu selama lebih 4 tahun.
Syabas Motoqar ucapkan kepada Marzuadi kerana berjaya menyempurnakan “ride solo 12 masjid” yang sangat menarik ini. Semoga ride ini menjadi inspirasi kepada penunggang/pemilik RXZ serta semua motosikal di luar sana.
Dan paling penting, sentiasa ingat Allah dan tidak tinggalkan solat walau apa pun yang kita buat.