Toyota rancang bina kilang kereta elektrik di China

2038

Jenama pengeluar kereta dari Jepun, Toyota, merancang untuk bekerjasama dengan FAW Group dalam membina kilang kereta elektrik terbarunya di bandar Tianjin, China.

Toyota kilang kereta elektrik

Kerjasama dan pelaburan antara kedua syarikat ini untuk membangunkan kilang tersebut akan menglibatkan kos sekitar USD1.22 bilion (RM5.17 bilion), menurut satu dokumen yang dikeluarkan oleh China-Singapore Tianjin Eco-city.



Menurut dokumen tersebut, kilang kereta elektrik yang akan dihasilkan oleh Toyota ini akan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 kenderaan tenaga baru pada setiap tahun.

Di China, kenderaan tenaga baru dikategorikan sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya, plug-in hybrid dan juga kenderaan sel bahan api.

Buat masa sekarang, Toyota masih belum memberi komen mengenai projek itu. Mereka berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka menganggap China sebagai salah satu pasaran global yang penting.

Mereka juga akan sentiasa mempertimbangkan pelbagai langkah untuk meluaskan pasaran mereka di China.

Pada tahun lepas, meskipun pasaran automotif di China mencatatkan penurunan sebanyak 8.2 peratus, Toyota dan Lexus berjaya meningkatkan jumlah jualan mereka sebanyak 9 peratus dari tahun sebelumnya.

Beberapa media China turut melaporkan kilang baharu itu bakal beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun ini, namun tidak dapat dipastikan model yang manakah bakal dipilih untuk dihasilkan di kilang tersebut. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here