Setiap agensi kerajaan dan majikan swasta diarah mengeluarkan surat pelepasan perjalanan kepada setiap kakitangan yang terpaksa bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata surat pelepasan ini bertujuan untuk mengelakkan ada pihak sengaja bergerak bebas keluar tanpa alasan munasabah dengan segelintirnya mendakwa perlu memenuhi tuntutan bekerja.
Katanya, Ketua Setiausaha (KSU) setiap kementerian akan mengeluarkan surat pelepasan dan kebenaran perjalanan kepada setiap pekerja, manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mendapatkan surat yang sama daripada majikan swasta.
“Ada masalah melalui sekatan polis (beri alasan pergi bekerja), ini akan dapat diselesaikan melalui pas perjalanan (dikeluarkan) KSU kementerian dan pejabat swasta,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata majikan juga tidak dibenarkan menyekat gaji pekerja yang terpaksa diberi cuti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Kita akan berbincang dengan Menteri Kewangan supaya gaji mereka (yang diberi cuti) berjalan seperti biasa. Kita tidak benarkan jika ada majikan ambil kesempatan, ada majikan minta pekerja tandatangan bersetuju cuti tanpa gaji. Kita tidak benarkan mereka bekerja, tapi gaji berjalan seperti biasa,” katanya.