Nissan dilaporkan akan menggunakan logo baru untuk syarikat dan model sport siri Z mereka. Ia berdasarkan pendaftaran hak dagangan yang didaftarkan di United Kingdom, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina.Logo baru ini kelihatan lebih minimalistik, tidak seperti logo semasa tiga dimensi dengan kemasan krom yang biasa dilihat sebelum ini.
Sebaliknya, logo baru Nissan ini berbentuk dua dimensi dan monokromatik. Jenis tulisan yang digunakan ialah jenis sans-serif, dan tulisan ini dilengkapi dengan bentuk separuh bulatan pada bahagian atas dan bawah. Seperti pada logo terdahulu, logo baru ini masih mengekalkan konsep bulatan.
Reka bentuk logo ini adalah sama dengan logo jenama pengeluar yang lain seperti BMW yang memodenkan logo mereka dengan lebih ringkas.
Logo baru ini diperkenalkan pada Nissan Ariya di Tokyo Motor Show 2019. Logo pada crossover elektrik tersebut kelihatan sama seperti logo Nissan yang baru, yang dipercayai akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat.
Bagi Nissan Z generasi akan datang, ia juga mungkin akan menerima penjenamaan baharu berdasarkan pendaftaran hak dagangan di Kanada dan New Zealand. Bagaimanapun, tidak seperti logo Nissan, logo Nissan Z kelihatan kembali kepada sejarah asal kemunculannya.
Logo baru ini akan menampilkan bentuk tulisan retro yang hampir sama dengan logo Z pada Nissan 240Z keluaran tahun 1971.