Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menyeru semua penumpang tren elektrik (ETS) No. 9173 membuat saringan kesihatan di hospital berdekatan jika terdapat gejala berkaitan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamarulzaman Zainal berkata ini kerana salah seorang mangsa wabak itu telah menaiki tren tersebut dari Stesen Butterworth ke Stesen Kuala Lumpur Sentral pada 7 Mac lepas.
“Warganegara Malaysia berusia 70 tahun itu merupakan mangsa ke-11 yang diumumkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarulzaman berkata pihaknya telah menghentikan serta-merta perkhidmatan tren terbabit dan kerja-kerja disinfeksi sepenuhnya telah dilakukan ke atas tren tersebut serta semua tren ETS lain, bagi keselamatan para penumpang dan kakitangan.
“Semua petugas syarikat yang berada di dalam tren serta stesen-stesen terlibat juga telah diarahkan untuk membuat ujian saringan kesihatan,” katanya.
KTMB akan terus memantau pengoperasian tren-trennya dan sentiasa melaporkan perkembangan semasa tersebut kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Orang ramai disaran untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi media sosial di Facebook (KTM Berhad), Twitter (@ktm_berhad), portal rasminya di www.ktmb.com.my atau menghubungi talian pusat panggilan di 03-22671200 bagi sebarang perkembangan terkini.