Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.
Tertuduh, Mohamad Saiful Bahari Mohamad, 32, didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 7 (1) peraturan sama.
Mohamad Saiful Bahari didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya Tesco Jalan Panglima, Melaka pada 7.05 malam. Ia boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pengawal keselamatan pasar raya itu Dayang Azura Sufri, 33, ketika menjalankan tugas sebelum didatangi tertuduh yang memberitahu hendak masuk ke pasar raya untuk membeli air.
Dayang Azura menerangkan waktu operasi pasar raya itu adalah dari 7 pagi hingga 7 malam sahaja. Namun Mohamad Saiful Bahari enggan mematuhi arahan dan bertindak agresif dengan menampar pipi kiri pengawal keselamatan itu sebelum mengejarnya dengan memasuki kawasan pasar raya itu.
Di mahkamah sama, Mohamad Saiful Bahari dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Dayang Azura dengan cara menampar pipi kiri sehingga lebam.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan itu, hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat tentang kepentingan mematuhi PKP dalam membendung pandemik Covid-19.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika menjatuhkan hukuman itu berkata pada masa negara menghadapi situasi ini, kepentingan umum amat penting berbanding kepentingan peribadi.
Beliau berkata, masyarakat harus serius mematuhi arahan dari semasa ke semasa oleh kerajaan ketika PKP bagi mengekang Covid-19 daripada terus merebak di negara ini.
Mohamad Izwan memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan semalam dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber Harian Metro