Platform penghantaran makanan, FoodPanda, sebelum ini mengumumkan mereka beroperasi seperti biasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Untuk mengurangkan risiko dan menjaga jarak sosial, syarikat itu akan menjalankan polisi Penghantaran Tanpa Sentuh.
FoodPanda komited dalam menyokong rider, restoran dan pelanggan mereka di saat semua pihak melalui tempoh sukar ini bersama.
Menurut FoodPanda, langkah baharu itu diambil untuk lebih keselamatan dan memastikan pelanggan merasa selamat menggunakan perkhidmatan itu. Ketika memesan, pelanggan boleh memberitahu rider untuk memilih Penghantaran Tanpa Sentuh ini.
Apabila sampai, makanan anda akan diletakkan di tempat meletak khas di rumah atau pejabat.
Jarak minimum satu meter antara penghantar dan pelanggan perlu dipatuhi, selain pelanggan juga diminta membuat pengesahan makanan mereka sudah dihantar. Selain itu, pelanggan perlu membuat pembayaran menerusi dalam talian bagi mengurangkan interaksi dan sentuhan.
Bagi meningkatkan ciri keselamatan, FoodPanda juga menyediakan hand sanitiser dan topeng muka percuma di hab rider mereka.
Penghantar dilatih untuk membasuh tangan setiap dua jam atau selepas membuat penghantaran.