Dalam menyokong usaha negara membendung situasi Covid-19, Naza Group telah menyampaikan sumbangan RM1.25 juta kepada tabung Covid-19 kerajaan.
Cek sumbangan itu disampaikan kepada Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh CEO dan Pengerusi Eksekutif Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin. Penyerahan itu dibuat di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tengahari ini.
Mengenai inisiatif kerajaan yang diambil dalam situasi ini, SM Nasarudin berkata, “Kami berharap sumbangan oleh Naza Group dapat membantu mereka yang terkesan secara kewangan dengan masalah pekerjaan dan kehilangan sumber pendapatan disebabkan pandemik global ini.
“Kami berterima kasih dengan komitmen diberikan oleh petugas perubatan, polis, dan tentera serta pihak-pihak lain di barisan hadapan yang membantu dalam situasi ini dan memastikan keselamatan kita.
“Selain dari sumbangan kewangan ini, Naza Group akan sentiasa mencari jalan untuk membantu Kementerian Kesihatan dalam menguruskan krisis ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti berdiri bersama untuk mengatasi apa jua yang bakal mendatang,” tambah SM Nasarudin.