Salah satu pasukan perlumbaan Formula 1, McLaren, telah membuat keputusan dalam menghadapi pandemik Covid-19. McLaren menjadi pasukan Formula 1 pertama memberi cuti kepada kakitangannya dan bersetuju untuk pelumba mereka iaitu Lando Norris dan Carlos Sainz menerima pemotongan gaji.
Dalam satu kenyataan pada hari Rabu (1 April 2020), McLaren dikatakan memberi cuti kepada pekerjanya dan proses pemotongan gaji akan dibuat selama 3 bulan disebabkan kesan dari Covid-19.
“Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk melindungi para pekerja dan untuk memastikan para pekerja kembali bekerja sepenuhnya apabila sumber kewangan kami kembali normal,” kata McLaren dalam satu kenyataan.
Jurucakap McLaren berkata terdapat 100 hingga 150 pekerja yang tidak dipotong gajinya kerana terlibat dalam penghasilan ventilator di United Kingdom. McLaren telah bekerjasama dengan Smith Group untuk menghasilkan ventilator. United Kingdom pada masa ini dilaporkan menempah 10,000 ribu alat bantuan pernafasan tersebut.
McLaren mempunyai sebanyak 3,700 orang pekerja dan seramai 850 orang darinya terlibat dalam pasukan perlumbaan. Bos pasukan, Zak Brown buat masa sekarang masih bekerja dengan gaji yang dipotong.