Toyota GR Yaris berkuasa 257hp bakal masuk Malaysia, RM300k, ada berani?

5380

Sanggupkah anda bayar RM300k untuk sebuah Toyota dengan enjin 1.6-liter 3-silinder? Sebelum anda kata kami gila dan cakap baik beli Nissan GT-R recond, harus diketahui bahawa ini bukanlah Yaris kembar Vios yang anda biasa jumpa.

Ini ialah model versi jalanan untuk kereta World Rally Championship (WRC) pasukan Toyota Gazoo Racing. Kereta sebegini biasanya digelar model homologasi.



Bergantung kepada dimana anda tinggal, terdapat beberapa bentuk dan versi Yaris. Amerika Utara mendapat Yaris yang merupakan model rebadge Mazda 2, Eropah dan Jepun mendapat model lebih kecil, dan pasaran lain termasuk Malaysia mendapat Yaris yang anda lihat di sini.

Secara umumnya, Yaris ialah kereta bandar yang sesuai dipandu seharian, sama seperti Perodua Myvi atau Proton Persona atau Honda Jazz.

Walaubagaimanapun, GR Yaris berkongsi banyak komponen dari jentera WRC dipandu Sebastian Ogier.

Menurut WapCar, sebanyak 100 unit Toyota GR Yaris ini telah diperoleh oleh UMW Toyota Motor untuk dibawa ke sini. Dan dengan jiwa rali, teknologi perlumbaan serta unit terhad, anda boleh jangkakan harganya agak “keras”.

Ya, hampir RM300,000. Amacam, ada berani? Lagipun UMW pernah berkata bahawa akan ada lagi model Gazoo Racing (GR) selepas ini selain Supra. Jadi GR Yaris ini model seterusnya?

Jika anda rasa Honda Civic Type-R atau Renault Megane RS 280 Cup sudah cukup hardcore, anda perlu lihat GR Yaris ini dari sudut berbeza.

Ia mungkin tidak berkuasa seperti model hot hatch di atas, tetapi GR Yaris ini – sekali lagi – ialah model homologasi WRC, sama seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX zaman 90-an dulu.

Untuk maklumat tambahan, GR Yaris ini juga dibangunkan oleh Tommi Makinen sendiri.

Tidak menggunakan enjin 2.0-liter turbo seperti zaman dulu, GR Yaris mengikuti piawaian WRC terkini, justeru ia menggunakan enjin 1.6-liter turbo, yang menghasilkan 257hp dan 370Nm tork. Ini cukup menjadikan enjin ini unit 3-silinder paling berkuasa di dunia.

Transmisi ialah manual 6-kelajuan dan sama seperti jentera WRC, ia menggunakan pacuan semua-roda. Terdapat juga LSD Torsen di setiap gandar.

Di Jepun, harga Toyota GR Yaris ialah sekitar 3.96 juta Yen, di bawah Honda Civic Type-R pada 4.5 juta Yen.

Mahal sangat? Anda harus sedar bahawa jentera homologasi WRC sememangnya satu tahap di atas jentera hot hatch yang direka untuk mencatat masa pantas di Nurburgring.

Jika anda hanya mahukan kuasa dan kelajuan, Civic Type-R dan Megane RS sudah cukup. Atau jika anda malas tukar gear manual, VW Golf R dan Mercedes-AMG A45 (akan datang) pun sesuai untuk anda.

Tetapi GR Yaris ini akan menjadi satu model unik yang kami jangkakan akan meningkat harganya selepas beberapa tahun. Ia ibarat sebuah jentera eksotik, cuma dalam bentuk hatchback.

GR Yaris juga bukanlah berkenaan kelajuan atau harga. Hanya yang faham sahaja akan menghargainya. Kebanyakan orang akan berfikir “RM300k baik beli rumah atau Mercedes C-Class.”

Anda termasuk dalam golongan mana?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here