Petronas menerusi anak syarikatnya, Progress Resources USA Ltd (PRUL) bersama-sama dengan rakan penerokaannya, mengumumkan penemuan minyak di telaga eksplorasi Monumen, di luar pesisir Teluk Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Penemuan itu menandakan pencapaian penting buat syarikat minyak negara itu untuk mengukuhkan dan membangunkan usahanya di benua Amerika.
Ianya ditemui ketika Petronas sedang mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio perniagaan minyak dan gasnya di AS dan luar pesisir Teluk Mexico.
Penerokaan di telaga yang amat dalam itu telah digerudi sejauh kedalaman 10,164 meter dan menemui kira-kira 60 meter pasir mengandung minyak bersih di Lower Wilcox dari batu pasir Paleogene.
Dengan penemuan itu, kerja penilaian lanjut diperlukan pihak Petronas untuk menentukan potensi penuh pengumpulan minyak.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Adif Zulkifli berkata penemuan di Teluk Mexico AS itu adalah perkembangan yang menggalakkan untuk Petronas ketika syarikat itu terus mengejar peluang di luar Malaysia.
Katanya, ia adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan tiga serampang Petronas iaitu untuk mengembangkan perniagaan teras minyak dan gas syarikat itu dengan mengembangkan asas sumbernya.