Anda mungkin fikir sistem brek kereta hanya sekadar pedal, pam hidraulik, hos brek, angkup (caliper), pelapik brek (brake pad), dan cakera.
Namun tak seringkas itu. Di antara komponen-komponen tadi terdapat pula kotak komputer kecil, fius, dan beberapa pengesan untuk menjadikan brek kereta anda sedikit lebih bijak, berkesan seterusnya menjadikan pemanduan kita lebih selamat.
Jika sebelum ini anda sudah tahu pasal ABS, kali ini kita pergi pula ke EBD. Selalu nampak di brochure beli kenderaan, tapi apa benda EBD ini?
Apa itu EBD?
EBD bermaksud Electronic Brake-force Distribution atau sistem agihan kuasa brek elektronik.
Fungsi dan kegunaan
Fungsi utama EBD ialah mengagihkan kuasa brek dengan betul di keempat-empat penjuru tayar. Mengapa perlu diagih-agih? Tak boleh ke setiap tayar menerima 25 peratus atau 1/4 kuasa dari pam hidraulik?
Jawapan mudah, tidak boleh. Ini kerana berat yang ditampung oleh setiap tayar tidak sama, jadi jika kuasa brek yang sama diberi kepada setiap tayar, maka tayar yang menampung berat paling kurang akan terkunci dulu dalam situasi kecemasan atau permukaan licin.
Jadi EBD menggunakan sistem elektronik dan hidraulik untuk mengagihkan kuasa brek yang betul untuk setiap tayar dalam semua situasi pemanduan. Proses ini berjalan dengan kehadiran ABS dan ESC (Electronic Stability Control).
Situasi 1: Anda memandu Perodua Myvi berseorangan, jadi bahagian depan kereta lebih berat dari belakang. Kuasa brek akan diagihkan lebih banyak ke depan agar anda ada cengkaman maksimum untuk memberhentikan kenderaan.
Jika 50-50 kuasa diberi pada tayar depan dan belakang, maka tayar belakang akan terkunci dahulu dan menyebabkan anda tergelincir atau jarak brek menjadi lebih panjang.
Situasi 2: Anda mengambil selekoh ke kanan, tiba-tiba perlu brek mengejut kerana ada binatang liar melintas. Memandangkan anda di selekoh kanan, berat badan kereta akan berpindah ke kiri.
Tayar kiri akan menampung lebih beban, jadi brek akan diberi lebih di tayar kiri depan dan belakang kerana ia mempunyai lebih cengkaman. Jika agihan brek 50-50 diberikan antara tayar kiri dan kanan, maka tayar kanan akan terkunci dan anda mungkin tidak dapat berhenti dengan baik.
EBD berfungsi dengan ABS dan ESC yang membaca kadar pusingan kereta, kelajuan dan input stereng. Sistem-sistem ini akan membuat beratus perkiraan sesaat untuk menentukan berapa banyak brek diperlukan di setiap tayar pada setiap saat.
Kereta apa ada EBD? Kereta mahal je?
Mana-mana kereta yang ada ABS dan ESC biasanya akan mempunyai EBD juga. Jadi, boleh dikatakan 99.9 peratus kereta moden hari ini didatangkan dengan sistem brek ini, termasuklah Perodua Axia 1.0 G yang berharga sekitar RM33,000.
Kenapa 99.9 peratus? Sebab ada satu lagi varian Axia 1.0 E dengan transmisi manual yang tidak dilengkapi ABS, maka ia tiada EBD. Namun harus faham bahawa varian ini hanya biasa digunakan untuk sekolah memandu dan mungkin pengawal peronda keselamatan.
Bagaimana mengesan kerosakan
Disebabkan EBD merupakan satu sistem lanjutan dari ABS dan ESC, ini bermakna EBD berkongsi banyak komponen dengan ABS dan ESC dan masalah dari salah satu fungsi ini boleh berkait.
Berikut adalah tanda-tanda EBD mempunyai kerosakan:
- Lampu EBD atau ABS menyala
- Tayar terkunci ketika membrek mengejut atau dalam situasi kecemasan
- Pedal perlu ditekan lebih
Jika mana-mana sistem ini mempunyai masalah, anda masih boleh membrek seperti biasa, cuma tiada bantuan dalam situasi permukaan licin dan kecemasan.
Bawa kenderaan untuk pemeriksaan secepat mungkin jika ABS atau EBD mempunyai masalah.
Nota tambahan: Anda perlu periksa tahap cecair brek dan kejernihannya secara berkadar kerana ini juga boleh menjadi faktor lampu ABS atau EBD menyala.
Sumber rujukan: Autoguide, Carsguide, Howstuffworks, dan Lifewire