Legenda dalam sukan pemotoran dan Formula 1, Stirling Moss meninggal dunia pada usia 90 tahun selepas sudah sekian lama terlantar sakit.
“Dia hanya memejamkan matanya,” jelas isteri Moss, Susie menceritakan bagaimana detik kematian pelumba Formula 1 itu.
Walaupun Moss tidak pernah muncul juara keseluruhan, dia pernah menduduki tempat kedua terbaik sebanyak empat kali dan tiga kali menghuni tangga ketiga keseluruhan.
Media Britain melaporkan Moss meninggal dunia selepas menderita jangkitan kuman di paru-paru yang dialaminya di Singapura sejak Disember 2016.
Kematiannya tidak mempunyai kaitan dengan penularan pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia pada masa ini.
Ketika eranya, ia menjadi satu kebiasaan untuk berlumba dalam pelbagai kelas. Dengan kariernya selama 14 tahun yang bermula pada tahun 1948, Moss mencatatkan 212 kejuaraan dalam 529 perlumbaan yang disertainya termasuk di Mile Miglia pada tahun 1955.
Dalam saingan Formula 1, Stirling Moss meraih 16 kejuaraan Grand Prix (GP), dengan kejayaan sulung dicatatkan di GP Britain di Liverpool pada tahun 1955 sekali gus menyaksikan dia pelumba pertama Britain muncul juara perlumbaan.