Walaupun diberi bantuan kewangan oleh pihak kerajaan, Valerie Chan, Pengarah Eksekutif PicknGo Sdn Bhd berkata, bantuan kewangan itu adalah sumbangan jangka pendek untuk para pemandu teksi.
Memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerekan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April, pemandu teksi berkemungkinan besar akan terjejas walaupun mereka dibenarkan untuk bekerja.
Untuk itu, PicknGo (aplikasi e-hailing khas untuk teksi yang dilancarkan pada 2017) telah membenarkan pengguna aplikasinya untuk memesan perkhidmatan teksi sebagai perkhidmatan penghantaran. Hal ini akan membantu para peniaga dan pelanggan untuk membeli barangan keperluan mereka dari lokasi yang telah ditetapkan.
PicknGo telah memulakan perkhidmatan ini yang membabitkan penghantaran barang dalam usaha membantu pemandu teksi mendapat sumber pendapatan di waktu yang sukar ini. Pelanggan hanya perlu menempah trip (perjalanan) melalui aplikasi dan meninggalkan butiran yang berkaitan di bahagian mesej aplikasi.
“Kami juga sangat prihatin tentang penularan pandemik Covid-19 dan telah menasihatkan semua pemandu kami supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan sanitizer tangan ketika bertugas,” kata Chan.
Kami juga mengamalkan sistem pembayaran tanpa sentuh dan tanpa tunai melalui aplikasi untuk mengurangkan sebarang sentuhan fizikal. Teksi disenaraikan di bawah perkhidmatan penting, oleh itu mereka dibenarkan bergerak dengan selesa untuk menawarkan perkhidmatan mereka, tambahnya.