Lima lagi perkhidmatan penting dibenar beroperasi untuk PKP fasa 3 (PKP3)

2520

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 yang berkuat kuasa semalam menyaksikan 5 lagi perkhidmatan penting ditambah ke dalam senarai, menjadikan senarai itu terdiri dari 15 perkhidmatan berbanding 10 dalam fasa 2.

Perkara itu dinyatakan dalam warta kerajaan persekutuan terbaru di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020 yang disiarkan di laman web Jabatan Peguam Negara pada Selasa (14 April).



Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyatakan peraturan-peraturan itu berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April.

Lima perkhidmatan tambahan itu adalah:

  1. Mana-mana perkhidmatan, kerja atau industri yang ditentukan oleh Menteri selepas rundingan dengan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan, kerja atau industri adalah dibenarkan untuk beroperasi di bawah perkhidmatan-perkhidmatan penting.
  2. Pengangkutan darat, air dan udara
  3. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk  pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo, dan pemaliman dan penyimpanan dan pemukalan komoditi
  4. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir
  5. Hotel dan penginapan 

Pada PKP fasa satu mulai 18-31 Mac, kerajaan menyenaraikan 22 perkhidmatan penting, tetapi kemudian dikurangkan kepada hanya 10 perkhidmatan pada fasa dua mulai 1 hingga 14 April berikutan kerajaan mengumumkan PKP lebih ketat untuk mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak 10 perkhidmatan penting yang disenaraikan sebelum ini adalah makanan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk makanan tambahan diet; air; tenaga; keselamatan dan pertahanan; sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam dan pembetungan; komunikasi dan internet; perbankan dan kewangan; e-dagang; dan logistik yang terhad kepada ketetapan perkhidmatan-perkhidmatan penting.

Di bawah Peraturan itu, perkhidmatan penting bermaksud perkhidmatan yang ditetapkan secara spesifik dalam Jadual dan termasuk mana-mana aktiviti dan proses dalam rantaian bekalan perkhidmatan-perkhidmatan penting tersebut manakala kawasan tempatan jangkitan bermaksud mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan tempatan jangkitan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. 

Menurut warta itu, sekatan pergerakan dalam jarak 10km bagi keperluan harian seperti untuk membeli makanan, perubatan dan makanan tambahan diet masih dikekalkan.

Mana-mana orang yang ingkar peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here