Dua lelaki di India iaitu Ashiq Hussain yang berasal dari Samethadka dan Mohammed Thakeen pula dari Kemminje, Dakshina Kannada, sanggup hidup di dalam kereta mereka di Gujarat sejak 21 hari yang lalu selepas kerajaan tempatan di sana mengumukan perintah lockdown.
The Times Of India melaporkan bahawa mereka pada awalnya melakukan urusan perniagaan kacang tanah di pasar Gujarat. Selepas kerja selesai, mereka meninggalkan bandar Gujarat pada 20 Mac.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan kembali ke Mangaluru, mereka ditahan satu sekatan jalan yang dilakukan selepas pengumuman perintah lockdown.
Hussain dan Thakeen tidak diberi kebenaran untuk meneruskan perjalanan akhirnya berhenti berhampiran kawasan sekatan jalan tersebut. Sejak itu, mereka memilih untuk tinggal sementara di dalam kereta.
Untuk kemudahan makanan dan tandas, kedua-duanya dibantu oleh pemilik restoran berdekatan. Di samping itu, penduduk tempatan juga membantu menyediakan makanan dan ubat-ubatan. Untuk tempat tidur, mereka bergantung kepada ruangan di dalam kereta.
Pada masa sama, seorang pekerja sosial, Rasheed Vitla juga berusaha menolong mereka berdua, dengan memaklumkan itu kepada pihak berkuasa daerah Dakshin Kannada.
Hal ini mendapat tindak balas dan Timbalan Komisioner Dakshina Kannada, Sindhu B Rupesh menghantar surat kepada pihak berkuasa untuk memberikan bantuan tempat tinggal dan makanan kepada mereka.