Sebelum Ferrari SF90 Stradale diperkenalkan, LaFerrari ialah model flagship Ferrari. Sudah tujuh tahun sejak LaFerrari dilancarkan dan menjadi satu daripada tiga hypercar terbaik termasuk McLaren P1 dan Porsche 918 Spyder. Namun, prestasi jentera ini masih memberangsangkan sehingga hari ini.
Ferrari secara rasmi berkata bahawa LaFerrari dapat mencapai kelajuan tertinggi pada 349 km/j. Namun, video viral di Instagram menunjukkan jentera ini mampu mencapai kelajuan yang jauh lebih tinggi.
Menurut akaun instagram Speedtimers, video tersebut memaparkan pemilik LaFerrari tersebut memandu keretanya dengan kelajuan maksimum di Autobahn, Jerman. Pada permulaan video tersebut, LaFerrari tersebut telah mencapai kelajuan 217km/j.
Jalan di Autobahn pada ketika itu sangat lengang dan membolehkan pemilik LaFerrari tersebut memecut mencapai kelajuan maksimum. Beberapa ketika kemudian, LaFerrari tersebut mencapai kelajuan 300km/j sebelum menukar kepada gear tertinggi iaitu gear 7.
Tidak lama kemudian, jentera tersebut mencapai kelajuan maksimum yang didakwa oleh Ferrari iaitu pada 349km/j, tetapi kelajuan tersebut terus meningkat kepada 372km/j. Kelajuan itu masih sangat tinggi untuk sebuah kereta pada hari ini, memandangkan usianya yang telah mencecah 7 tahun.
LaFerrari dikuasakan oleh enjin 6.3-liter V12 yang disertakan dengan motor elektrik untuk menghasilkan 950hp. Dengan ini, jentera ini mampu memecut 0-100km/j hanya dalam masa 2.5 saat.
Walaupun menggunakan sistem pacuan roda belakang, LaFerrari kelihatan sangat stabil dengan kelajuan melebihi 370km/j. Ini disebabkan sistem Traction Control dan aerodinamik aktif yang canggih padanya.
Jentera ini dikeluarkan hanya 499 unit di seluruh dunia.
7 tahun selepas LaFerrari dihasilkan, Ferrari memperkenalkan Ferrari SF90 Stradale, yang mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan LaFerrari. Jentera ini mampu mencapai 0-100km/j dalam masa 2.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum pada 340km/j, yang sebenarnya lebih rendah dari kelajuan maksimum rasmi LaFerrari.
Tidak seperti LaFerrari, SF90 Stradale bukanlah keluaran edisi terhad. SF90 Stradale kini berharga sekitar USD600,000 (RM2,631,000) manakala LaFerrari berharaga sekitar USD1.4juta (RM6,139,000) pada tahun 2013.