Pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas Formula 1, Lewis Hamilton menolak spekulasi yang mengatakan dia akan berpindah ke pasukan Ferrari, dengan menyatakan pasukan Mercedes adalah “pasukan impiannya”.
Belum menandatangani kontrak baharu dengan Mercedes sepanjang musim 2020, Hamilton telah dikaitkan untuk menyertai pasukan Ferrari selepas mengadakan pertemuan dengan John Elkann pada tahun lalu.
Juara dunia enam kali itu juga dikatakan dalam keadaan gembira dimana dia berada sekarang.
“Pertama sekali, saya tiada keinginan untuk bepindah ke pasukan lain. Saya sedang bersama pasukan impian saya.
“Kedua, tidak ada yang akan menghalang saya dan saya tidak akan kemana-mana. Saya sedang bersama orang-orang yang mengambil berat tentang saya sejak hari pertama. Kami adalah pasukan yang terbaik,” kata Hamilton melalui akaun Instagramnya.
Hamilton perlu sedar peluang untuk ke Ferrari akan berakhir jika Sebastian Vettel menandatangani kontrak baharu.
Seperti Hamilton, Vettel yang juga juara dunia empat kali, akan tamat kontraknya pada hujung tahun ini manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc mempunyai kontrak sehingga 2024.
Vettel minggu lalu berkata, dia mahu terus kekal di Ferrari selepas hujung musim ini.