
Berikutan dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan, pihak kerajaan akan membuat pembayaran fasa kedua untuk semua penerima bermula 4 Mei 2020.
Pembayaran yang dibuat juga meliputi golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembayaran BPN fasa pertama telah dibuat oleh pihak kerajaan, yang berjumlah RM5.47 bilion dan melibatkan 7.74 juta orang penerima.
Beliau berkata, proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April 2020 dan berjalan lancar. Lebih daripada 157,000 individu menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.
“Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 untuk 2.5 juta penjawat awam dan pesara, termasuk veteran angkatan tentera tidak berpencen telah dibuat pada 23 April 2020.
“Bagi golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pula, mulai 27 April 2020, bantuan RM200 secara sekali saja sudah dihulurkan, yang mana bantuan itu akan memanfaatkan seramai 1.5 juta pelajar IPT di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, katanya, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan diterima untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 26 April 2020.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2.96 juta adalah permohonan baharu dan 305,000 adalah rayuan, sementara proses itu, akan ditutup pada Khamis, 30 April ini.
“Pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai,” katanya.