Apa garaj impian anda? Tiga buah supercar? Jika ditanya pada penulis; sebuah supercar, sebuah kereta sport, sebuah wagon, dan sebuah helikopter. Kenapa ada helikopter?
Ini sebabnya.
Seorang pemilik kedai runcit, Emmanuel Toner, sedang mengisi minyak trak pikap Dodge Ram miliknya di New Brunswick, satu daerah di Kanada pada 27 April 2020.
Walaubagaimanapun apabila keluar selepas membuat bayaran, dia ternampak trak pikap miliknya sedang dilarikan. Rupanya dia meninggalkan traknya dalam keadaan enjin sedang dihidupkan walaupun kunci berada dalam poketnya, lapor CBC Canada.
Menurut Toner, dia memuatnaik gambar trak pikap itu di page Facebook kedai runcit milik keluarganya. Dia merasakan itu cara paling mudah mengesan trak itu.
“Sekelip mata, kami mendapat banyak Like dan Share dan orang mula membantu mengesan trak saya,” kata Toner.
Dengan tips dan maklumat di tangan, ayah Emmanuel, Teddy Toner, menawarkan untuk menggunakan helikopter keluarga mereka untuk membantu kerja mengesan trak itu.
45 minit selepas itu, Toner dan abang iparnya berada di udara untuk mencari Dodge Ram putih itu. Toner juga menghubungi polis Kanada untuk bantuan.
Pencarian itu berakhir apabila pihak polis menggunakan paku spike strip untuk memperlahankan trak itu. Mereka mulanya menyangka ia tidak berjaya, namun tidak lama kemudian kelihatan asap keluar dari tayar Dodge Ram itu.
Pencuri itu memberhentikan trak Toner di kawasan jalan tanah dan melarikan diri ke dalam hutan sambil polis mengejarnya. Dua jam kemudian, Toner dan keluarganya melihat pencuri itu diberkas polis.
“Nampaknya pencuri itu tersalah memilih trak untuk dicuri kerana dengan helikopter, anda mudah melihat trak itu dan mengesannya,” kata Toner.