Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 4 yang dilaksanakan, kini rakyat Malaysia dibenarkan untuk melakukan pergerakan melebihi radius 10km bagi membeli barangan keperluan harian, mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020.
Katanya semua PKP yang dilaksanakan sebelum ini adalah diwartakan dan ia membolehkan tindakan diambil kepada mereka yang melakukan kesalahan.
Kerajaan turut memberikan kelonggaran dengan membenarkan pergerakan seramai dua orang dalam satu kenderaan, dalam PKP Fasa 4 yang bermula hari ini.
Kelonggaran itu diberikan dengan syarat kedua-duanya adalah ahli keluarga dan dari rumah yang sama.
“Kita dapati banyak permintaan yang mahukan supaya ada tambahan. Kalau dulu bukan semua tak boleh, kalau bawa warga emas, kita benarkan. Tapi satu kereta seorang saja.
“Jadi kita benarkan dua orang dari rumah yang sama, kalau kita fikirkan dari segi penjarakan sosial di dalam rumah pun mereka tetap bersama. Lebih-lebih lagi jika di rumah itu tidak ada kes yang positif Covid-19, maknanya semua dalam rumah selamat.
“Jadi kita benarkan suami dan isteri, atau pun isteri dan anak, atau pun suami dan anak, tetapi tetap tidak melebihi dua orang,” katanya.