Bagi individu lelaki yang mempunyai lebih dari satu isteri, mereka perlu memohon kebenaran dari pihak polis jika mahu bergerak melebihi radius 10km dari kediaman untuk melawat isteri yang lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sebelum ia diluluskan atau sebaliknya, pihaknya akan mempertimbangkan dan meneliti terlebih dahulu permohonan tersebut.
“Seperti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang awam dibenarkan bergerak lebih 10km radius atas sebab tertentu termasuk hal kecemasan namun perlu menyertakan dokumen dan bukti.
“Kalau ada yang melawat isteri lain di kawasan berbeza, mereka perlu membuat permohonan di balai terdekat. Polis akan teliti permohonan berkenaan dan terpulang kepada mereka untuk meluluskan permohonan itu atau sebaliknya.
“Saya sebagai Ketua Polis Selangor tak pernah lagi berhadapan kes seperti ini (lelaki mohon nak melawat isteri lain), mungkin Ketua Polis Daerah lain ada (berhadapan kes sebegitu),” katanya.