Gerak Malaysia: PLUS jangka lebih 300,000 kenderaan di semua lebuhraya

1532

Berhubung dengan permohonan Gerak Malaysia, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan akan bergerak di seluruh negara termasuk di rangkaian Lebuhraya PLUS bermula hari ini sehingga Ahad.

Prosedur operasi standard (SOP) sudah dilaksanakan oleh PLUS, selaras dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.



Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, setiap pemandu dinasihatkan mengamalkan jarak sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

Menurutnya, ini berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pengguna di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Tambah beliau, selaras dengan SOP yang telah diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengguna lebuh raya hanya dibenarkan untuk berhenti rehat di dalam kenderaan masing-masing apabila tiba di kawasan tempat letak kenderaan di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Katanya, pengguna hanya dibenarkan keluar daripada kenderaan untuk menggunakan kemudahan tandas awam sahaja.

gerak malaysia plus

Sepanjang tempoh tersebut juga, stesen minyak di Lebuhraya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja, katanya.

Azman berkata perkhidmatan rondaan di lebuh raya, PLUSRonda juga akan disediakan 24 jam untuk menjaga keselamatan dan memberi bantuan kepada pengguna dengan menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000.

Jelasnya, talian bantuan itu boleh dihubungi secara terus menerusi aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store.

Ketika perjalanan Gerak Malaysia, orang ramai juga dinasihati untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Map bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya di samping mendapatkan maklumat trafik menerusi papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi strategik di sepanjang 1,131.4km Lebuhraya PLUS.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here