Untuk keselamatan, kereta-kereta diuji dengan pelbagai bentuk ujian perlanggaran. Ada yang diuji langgar tembok, berguling terbalik, dilanggar dari tepi, jatuh jambatan dan macam-macam.
Tetapi kaedah terkini dijalankan oleh NCAP (New Car Assessment Program) ialah perlanggan pada kelajuan kira-kira 50km/j hingga 64km/j.
Ini bergantung kepada rantau yang menjalankan ujian itu sama ada C-NCAP (China), Euro NCAP (Eropah), JNCAP (Jepun) atau ASEAN NCAP (Asia Tenggara), dan beberapa lagi yang lain.
Untuk perlanggaran berdepan, beberapa faktor diambil-kira untuk memberikan markah atau mata kelulusan. Antaranya tahap kemik badan kereta, A-pillar, pintu, stereng, papan pemuka, keadaan kabin dan sebagainya.
Patung atau dummy canggih pula digunakan untuk melihat impaknya kepada manusia. Dummy ini direka dengan tekstur badan dan berat yang sangat serupa dengan manusia agar keputusannya lebih tepat.
Tetapi, sejauh manakah kereta moden dengan penilaian NCAP ini mampu melindungi kita? Adakah ia betul-betul selamat atau sekadar gimik pemasaran?
Bagaimana pula dengan kereta-kereta lama? Bukankah ia direka dengan besi padu yang berat seperti kereta kebal Adnan dan besi seperti Perwaja? Mesti lah kukuh dan selamat, bukan?
Siri TV automotif UK, Fifth Gear telah melakukan ujian perlanggaran berdepan menggunakan sebauh kereta baru dan lama.
Kereta dipilih adalah dari model sama, iaitu Renault Espace, tetapi satu model lama dan satu lagi model terkini. Dan keputusan perlanggaran ini mungkin mengejutkan anda.
Keputusan
Perkara pertama dinilai selepas perlanggaran itu ialah sama ada pintu boleh dibuka. Cuba anda teka, yang mana lebih senang dibuka?
Ya, kereta baru lebih senang dibuka. Ini kerana tiang A-pillar lebih keras dan kekal bentuknya. Espace lama pula remuk pintunya dan tidak dapat dibuka dengan mudah.
Seterusnya, kaki “pemandu” dalam Espace lama telah tersepit dengan panel papan pemuka yang terperosok ke dalam kabin. Papan pemuka pada Espace baru lebih kekal pada tempatnya dan tidak menghimpit kaki “pemandu”.
Menariknya, beg udara pada model lama berfungsi, tetapi tidak mengenai dummy kerana kepalanya bergerak tidak tentu arah semasa pelanggaran.
Tetapi dalam Espace baru, beg udara tidak diaktifkan kerana impak pelanggaran itu bukan pada titik yang mengaktifkannya, tetapi dummy dilihat berada dalam keadaan cukup selamat.
Secara kasar, kereta baharu memang mempunyai bampar dan badan luar yang lembut untuk menyerap impak perlanggaran, kerana itulah crumple zone atau zon kemik.
Yang penting adalah ruang kabin, dimana pada kereta baharu ia ibarat tulang/rangka yang sangat keras untuk melindungi penumpang di dalam.
Bayangkan sebiji telur ayam yang mudah pecah tetapi terdapat tulang di dalam yang melindungi anak ayam dari diapa-apakan. Begitulah kereta baru.
Jadi, jangan pula lepas ni anda tengok kereta baru yang terlanggar sedikit tapi dah kemik atau tercabut bampar, dan katakana ia “tin Milo”. Jurutera memang sengaja buat bahagian-bahagian itu lembut!