Topi keledar adalah perkara wajib dipakai ketika menunggang motosikal untuk melindungi kepala.
Namun, ada juga topi keledar palsu yang sudah tentu tidak selamat untuk dipakai. Antaranya ialah yang menggunakan jenama Arai, iaitu antara jenama topi keledar yang paling selamat.
Topi keledar palsu yang dibeli di Sepanyol oleh Valerio Staffeli dari BER Racing Europe (salah satu pengedar rasmi Arai di Itali) adalah produk tiruan topi keledar jenis Arai SZ-Ram III. Staffeli berkata, topi keledar tersebut dibeli dari sebuah kedai dalam talian (online) yang terkenal dari China.
Topi keledar palsu tersebut kemudian diuji melalui beberapa siri ujian. Ujian yang dijalankan adalah menggunakan kaedah yang sama dengan topi keledar asli sebelum dipasarkan.
Butiran tentang ujian tersebut tidak didedahkan sepenuhnya, namun dikatakan topi keledar tersebut dihentak pada kelajuan 27.7km/jam dan hasilnya sangat mengejutkan. Cengkerang topi keledar palsu tersebut terbelah dua dan memperlihatkan bahagian dalam topi keledar yang diperbuat daripada bahan polisterin.
Setelah diuji dengan beberapa ujian, mendapati topi keledar palsu ini mudah pecah. Ini bermakna, topi keledar palsu memberikan tahap perlindungan yang sangat rendah dari yang sepatutnya.
Jadi, kita sepatutnya menjadi pengguna yang bijak dengan memeriksa keaslian sesuatu produk terutamanya jika ia melibatkan keselamatan seperti topi keledar. Takkanlah nyawa kita pun murah, bukan?