Carlos Sainz ganti Vettel di Ferrari, Daniel Ricciardo sertai McLaren

1241

“Ia seperti mimpi,” kata Sainz dalam media sosialnya. “Saya rasa anda dapat bayangkan kegembiraan ini dan ia hari sangat istimewa buat saya.”

Pelumba Sepanyol, Carlos Sainz akan menggantikan juara dunia empat kali Formula Satu, Sebastian Vettel di Ferrari musim depan manakala Daniel Ricciardo telah pun menandatangani kontrak jangka panjang bersama McLaren bermula 2021.



Sainz, 25, akan meninggalkan McLaren dan berlumba bersama Charles Leclerc yang berusia 22 tahun di Ferrari sekali gus gabungan termuda dalam pasukan itu sejak 50 tahun lalu.

“Dengan lima musim di belakangnya, Carlos membuktikan dia sangat berbakat dan mempunyai kemampuan teknikal dan karakter yang tepat untuk menyertai keluarga kami,” kata ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto dalam satu kenyataan.

“Kami menyasarkan untuk bangkit kembali ke puncak Formula 1. Sudah pasti ia perjalanan jauh dan banyak cabaran,” tambahnya merujuk kepada permasalahan timbul angkara pandemik Covid-19.

“Kami yakin gabungan pemandu yang berbakat dan personaliti Charles, Carlos…akan menjadi kombinasi terbaik untuk membantu kami mencapat matlamat yang disasarkan.”

Sainz menjadi calon utama menggantikan Vettel di Maranello selepas pelumba Jerman itu mengumumkan akan meninggalkan Ferrari apabila rundingan kontrak menemui jalan buntu.

Kemasukan Sainz ke Ferrari sekali gus menamatkan spekulasi sekian lama membabitkan juara enam kali, Lewis Hamilton yang dikatakan mahu berpindah ke pasukan itu dari Mercedes.

Sementara itu, Daniel Ricciardo telah menandatangani kontrak jangka masa panjang dengan McLaren F1 bermula tahun depan.

Pemandu Australia berusia 30 tahun itu akan berganding dengan Lando Norris.

Ketua pasukan McLaren F1, Andreas Seidl berkata: “Daniel seorang pelumba yang terbukti menang. Pengalaman, komitmen dan semangatnya akan menjadi elemen bernilai untuk McLaren dan misi kami untuk kembali ke perlumbaan.

“Dengan Daniel dan Lando sebagai rakan sepasukan, saya percaya kami mempunyai dua pelumba yang akan terus mengujakan peminat kami dan membantu pasukan terus berkembang.”

Ricciardo memulakan kerja F1-nya pada 2011 dengan HRT, sebelum berpindah ke Toro Rosso pada 2012.

Dia kemudiannya berhijrah ke Red Bull pada 2014 dimana dia memenangi tujuh perlumbaan dan tamat di tempat ketiga dalam kejuaraan keseluruhan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here