Jika anda mengikuti perkembangan automotif semasa, anda pasti tahu berkenaan Toyota GR Yaris yang mempunyai enjin 3-silinder turbo paling berkuasa di dunia buat masa ini.
Dan pada masa yang yang sama, Toyota juga dikatakan sedang membangunkan hot hatch yang lebih besar iaitu GR Corolla.
Dalam satu perkembangan lain, media Jepun iaitu Best Car melaporkan bahawa Toyota GR Corolla bukan sahaja hampir pasti dikeluarkan, malah akan mendapat enjin turbo 3-silinder dan sistem AWD terus dari GR Yaris.
Untuk anda yang terlupa, GR Yaris dikuasakan oleh enjin 1.6-liter 3-silinder turbo yang mampu menghamburkan 257hp dan 360Nm tork. Ianya enjin baharu sepenuhnya dari Toyota dan dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.
Tetapi sebelum anda mula pecah tabung, kami juga ingin mengingatkan bahawa ura-ura ini juga mungkin tidak berapa tepat. Motor1 melaporkan bahawa jurucakap Toyota yang mereka hubungi tidak memberikan sebarang komen mengenai GR Corolla.
Mungkin ianya tidak seperti yang kita dengar, atau mungkin projek itu mahu dirahsiakan dahulu? Mungkin juga GR Corolla memang sedang dibangunkan, tetapi tidak mengambil powertrain secara bulat-bulat dari GR Yaris yang hardcore itu?
Sama-sama kita lihat. Dan kami pastinya akan melaporkan lagi sekiranya kami mendapat maklumat terkini mengenai produk mengujakan dari Toyota ini.