Terdapat pelumba baru yang menyertai saingan dalam siri MotoGP Virtual Race siri ke-5, yang diadakan di litar Silverstone, United Kingdom.
Pelumba tersebut ialah bekas juara dunia lima kali yang kini merupakan pelumba ujian kepada pasukan Yamaha iaitu Jorge Lorenzo. Siapa sangka, Jorge Lorenzo memenangi perlumbaan tersebut walaupun pertama kali menyertainya.
Lorenzo tampil garang sebelum perlumbaan bermula apabila dia meraih kedudukan petak hadapan.
Bermula di petak hadapan tidak bermakna keseluruhan perlumbaan akan mudah dihadapi oleh Lorenzo kerana kedudukan pendahulu dikuasai oleh Fabio Quartararo pada pusingan pertama.
Malah, Lorenzo sempat mengalami kemalangan dan ketinggalan di belakang setelah bertembung dengan Takaaki Nakagami. Malah, pelumba dari Jepun itu juga sempat memimpin perlumbaan setelah berjaya mengatasi Lorenzo.
Perebutan posisi pendahulu perlumbaan cukup sengit, dimana banyak kemalangan dialami oleh para pelumba.
Lorenzo sekali lagi dapat memimpin perlumbaan setelah berjaya mengejar Tito Rabat di pusingan kelapan, dengan gerakan berani di selekoh Maggotts.
Akhirnya, Lorenzo berjaya memenangi MotoGP Virtual Race siri ke-5, diikuti oleh Tito Rabat di tempat kedua dan Fabio Quartararo yang menduduki tempat ketiga.