Lexus LC 500 2020 kini lebih canggih, sporti dan premium – RM1.25 juta sahaja

1770

Lexus LC 500 kekal menjadi supercar jenama Lexus dengan enjin 5.0-liter V8 naturally-aspirated yang mampu menjana 470hp dan 540Nm tork. Walaupun seberat hampir dua tan, ia tetap mampu mencapai 100km/j dalam 4.4 saat.

Ia bukanlah supercar paling lincah seperti Porsche 911 atau Ferrari F8 Tributo, tetapi lebih kepada GT (grand tourer) yang selesa untuk perjalanan jauh. Pesaing LC 500 adalah model seperti Aston Martin Vantage, BMW 8-Series GT dan Jaguar F-Type.



Untuk 2020, Lexus telah memberikan peningkatan kepada LC 500 dengan ciri-ciri yang menjadikannya lebih sporti, canggih dan selamat.

Pertamanya, dari sudut pengendalian, jurutera Lexus telah mengurangkan berat rim dengan memberikan rim 21-inci dan komponen lengan bawah suspensi dari aluminium yang lebih ringan. Ini menjanjikan pengendalian lebih lincah dan tepat.

Di bahagian casis pula, LC 500 dilengkapi dengan penyerap hentak prestasi baharu di belakang, sistem kawalan Adaptive Variable Suspension (AVS), Active Cornering Assist (ACA), Variable Gear Ratio Steering (VGRS), Dynamic Rear Steering (DRS), dan sistem stereng elektrik yang ditala semula.

Lexus LC 500 2020 ini juga kini boleh didapati dengan dua warna baharu iaitu Blazing Carnelian Contrast Layering dan Terrane Khaki Mica Metallic. Warna bahagian dalaman juga ada yang baharu, iaitu Flare Red, Black dan Orange untuk dipadankan dengan warna luaran tadi.

Ciri Power Easy Access pula diberikan untuk memudahkan pemandu keluar dan masuk dari kenderaan. Tempat duduk akan diundur ke belakang dan stereng diangkat sedikit apabila enjin dimatikan, dan kembali ke posisi memandu apabila enjin dihidupkan.

Selain itu, ciri hiburan juga telah ditingkatkan. Lexus LC 500 kini didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

Dengan aspek pengendalian dipertingkat dan lebih sporti itu tadi, Lexus tidak melupakan aspek keselamatan. LC 500 2020 dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi Front Pre-Collision System (PCS), Automatic High Beam (AHB), Lane Keeping System dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC).

Berminat? Lexus LC 500 2020 boleh menjadi milik anda dengan harga RM1,250,000 dan lengkap dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here