Porsche 911 Speedster untuk kepuasan pemanduan maksimum – manual 6-kelajuan, dari RM2.7 juta

2021

Porsche 911 boleh dikatakan sebagai kereta yang mempunyai paling banyak varian. Dari Carrera biasa, model berkuasa Turbo, model Cabriolet, hinggalah model khusus pemanduan litar seperti GT3.

Varian terkini yang dilancarkan ialah 911 Speedster, model open-top dengan rekaan unik, dan dilancarkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) melalui siaran Facebook Live.



Porsche 911 Speedster ini mengambil inspirasi dari 356 Speedster 1954 dan hanya akan dihasilkan sebanyak 1,948 unit seluruh dunia.

Konsep Speedster

Model open-top unik ini lain dari model Cabriolet, ia menampilkan dua gelembung di belakang kabin dengan struktur bumbung ringan dan penutup fabrik yang dikatakan mudah untuk digunakan sehari-hari.

Panel dua gelembung itu juga merupakan komponen terbesar dan paling kompleks pernah digunakan pada model jalanan Porsche yang dihasilkan dari plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon.

Enjin high-revving berkuasa

Nadi kepada 911 Speedster ini ialah unit 4.0-liter flat-six naturally-aspirated dari 911 GT3. Enjin yang mampu rev sehingga 9,000rpm ini menghasilkan 510hp dan 470Nm tork.

Ia juga membolehkan 911 Speedster ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam 4.0 saat dan mencapai kelajuan maksima 310km/j.

Keseronokan memandu di semua jalan

Membawakan status kereta untuk pemandu tegar, Porsche 911 Speedster ini hanya boleh didapati dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Transmisi ini dilengkapi dengan fungsi auto-blip untuk penukaran paling lancar setiap masa, serta disambungkan dengan pembeda belakang mekanikal untuk pemanduan sporti.

911 Speedster juga mendapat ciri canggih seperti Porsche Active Suspension Management (PASM), Porsche Torque Vectoring (PTV), Porsche Stability Management (PSM), dan Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

Gaya sebuah 911 GT3 Touring

911 Speedster digayakan dengan beberapa komponen 911 GT3 Touring iaitu bonet gentian karbon, apron depan, apron belakang dan spoiler belakang. Akan tetapi, spoiler lip depan adalah baharu, manakala cermin sisi dari Sport Design.

Sementara itu, bahagian dalam 911 Speedster diberikan tempat duduk bucket gentian karbon komposit, kemasan kulit hitam, dan tombol gear lebih pendek.

Bahagian panel pintu pula dibina dari elemen ringan termasuklah jaring simpanan barang dan pembuka pintu.

Terdapat juga logo “Speedster” di perehat kepala, pemijak tepi pintu dan di tengah-tengah tachometer.

Elemen warna juga mengambil inspirasi 356 Speedster iaitu nombor hitam pada meter dengan jarum putih dan nombor digit hijau.

Heritage Design Package

Porsche melengkapkan gaya 911 Speedster dengan Heritage Design Package, iaitu perincian luaran dan dalaman klasik dari 1950an dan 1960an.

Ini dapat dilihat pada kemasan kabin Black dan Cognac dengan perincian emas, serta warna badan 911 ini iaitu GT Silver Metallic.

Porsche 911 Speedster ini akan dijual dengan harga dari RM2.7 juta. Jika anda berminat, kereta sports ini boleh dilihat di Porsche Centre Sungai Besi bermula 13 Jun 2020.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here