Honda HR-V telah melalui beberapa facelift dan kemaskini beberapa tahun kebelakangan ini yang menjadikannya semakin premium dan kekal kompetitif dalam pasaran.
Terkini, Honda Malaysia memperkenalkan warna kemasan kulit dalaman untuk HR-V RS, iaitu coklat gelap. Warna ini akan menjadi penambahan kepada warna hitam sedia ada.
Kemasan kulit coklat gelap ini menyaluti bahagian konsol tengah, papan pemuka depan, semua tempat duduk, dan kemasan pada panel pintu. Warna coklat gelap ini juga diperkenalkan khas untuk pasaran Malaysia.
Honda HR-V RS ini dikuasakan oleh enjin 1.8-liter SOHC i-VTEC dengan output 142PS dan 172Nm tork. Transmisi ialah CVT Earth Dreams yang menyalurkan kuasa ke roda depan.
HR-V RS juga mendapat sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pemanduan lebih responsif dan sporti.
Ciri lain pada Honda HR-V ini adalah paparan audio 7-inci, paddle-shifter, Honda LaneWatch. Ciri keselamatan pula merangkumi 6 beg udara, Emergency Stop Signal (ESS), Automatic Brake Hold (ABH), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan ISOFIX.
Honda HR-V RS dengan kemasan dalam baharu yang nampak lebih premium ini boleh didapati pada harga RM124,800. Tiga warna badan ditawarkan; Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl.
Honda HR-V yang mula memasuki pasaran Malaysia pada 2015 kini telah terjual lebih dari 91,000 unit (sehingga Mei 2020). Facelift diberikan pada 2019, termasuklah model RS.
HR-V kekal menjadi SUV kompak atau crossover paling popular di Malaysia dengan perkongsian pasaran sebanyak 85 peratus (sehingga April 2020).