Enjin Koenigsegg 2.0-liter 3-silinder je, tapi dapat 600hp! Ini rahsianya

5821

Koenigsegg Gemera memang sebuah hypercar yang mengagumkan atas banyak sebab. Ia laju, sangat berkuasa, tapi ada 4-pintu, transmisi 1-kelajuan, dan banyak lagi sebab.

Hypercar ini mempunyai 1,677hp dan 4,399Nm tork serta mampu mencapai 100km/j dari kedudukan pegun dalam hanya 1.9 saat! Enjin pula 2.0-liter je!



Tetapi bukan semua output 1,677hp itu dihasilkan dari enjin semata-mata. Enjin 3-silinder itu yang digelar “tiny friendly giant” (TFG) atau “gergasi mesra yang kecil” menjana 592hp dan 601Nm tork, manakala baki 1,000hp dan 2,000Nm dijana oleh dua motor elektrik di belakang.

Tapi apa yang hendak diceritakan di sini ialah mengenai enjin TFG yang terletak di antara dua motor elektrik itu.

Bayangkan ya, enjin 2.0-liter 3-silinder yang menghasilkan 600hp. Macam mana tu?

Kebanyakan enjin 3-silinder walaupun diberi turbo, hanya menghasilkan sekitar 200hp. Jadi bagaimana Koenigsegg menggandakan kuasa enjin itu tanpa meletupkannya?

Sebenarnya ada dua sebab, dan sebab kedua sangat cool.

1. Teknologi Freevalve

Freevalve merupakan anak syarikat Koenigsegg dan telah membangunkan pelbagai teknologi enjin. Dan kini akhirnya teknologi dari Freevalve masuk ke kenderaan produksi iaitu Gemera.

Enjin 3-silinder pada Gemera merupakan enjin camless, iaitu tanpa sesondol pada injap. Aci sesondol pada enjin Gemera diganti dengan aktuator pneumatik yang menolak dan melepaskan spring injap, membuka dan menutup setiap injap secara berasingan.

Aktuator ini pula dikawal oleh sistem elektrik yang cepat dan tepat. Jadi tidak seperti enjin biasa yang menggunakan aci sesondol dengan sudut dan bentuk yang tetap, aktuator Freevalve ini boleh dikawal agar memberi penjimatan, kecekapan, dan kuasa optimum.

Setiap kitaran kemasukan, mampatan, kuasa dan ekzos akan dipantau secara berasingan setiap silinder, dan komputer mengawal Freevalve untuk memberikan output terbaik.

Ini seperti teknologi DVVT, VVTI, VTEC, atau MIVEC yang mengawal pemasaan (timing) enjin, tetapi jauh lebih canggih dan cekap.

Teknologi ini juga mengurangkan geseran besi, pergerakan dan kerumitan komponen, jadi enjin lebih mudah bergerak.

Ini juga bermakna enjin Gemera dapat dibina lebih kecil, dan nyah-aktif silinder dapat dibuat dengan lebih mudah.

2. Dua turbo disambung pada tiga silinder?

Enjin Gemera ini bukan sahaja turbocharged, tetapi ia twin-turbocharged. Jadi macam mana kita bahagikan tiga silinder kepada dua pengecas turbo?

Mudah. Koenigsegg membahagikan setiap silinder supaya mempunyai dua paip ekzos. Maka ada enam paip ekzos kesemuanya.

Tiga paip ekzos pertama pergi ke satu turbo, dan tiga lagi paip ekzos kedua pergi ke turbo lagi satu.

Pada rpm rendah, hanya turbo pertama berfungsi, dan pada rpm lebih tinggi, barulah turbo kedua diaktifkan.

Jadi itulah dia. Teknologi camless Freevalve berserta dengan twin-turbo ini membolehkan enjin 2.0-liter 3-silinder Gemera ini menghasilkan sehingga 600hp.

Tonton dua video di bawah untuk lebih perincian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here