Brad Pitt memang dikenali sebagai seorang pelakon yang memiliki wajah tampan dan peminat dunia automotif. Selain seorang pengumpul motosikal, dia juga memiliki koleksi kereta lama dan baru, helikopter dan juga kapal terbang persendirian.
Menurut sumber, beberapa gambar Brad Pitt kini akan dilelong. Salah satu dari gambar tersebut memaparkan dia sedang menunggang sebuah motosikal unik dan sangat rare iaitu motosikal keluaran Indian Larry.
Gambar yang diambil oleh Mark Selinger pada tahun 2014 tersebut kini sedia untuk dilelong, dan hasil dari lelongan tersebut akan disumbangkan kepada RADArt4Aid, sebagai sebahagian dari kerjasama Selinger dengan Red Carpet Advocacy and Christie’s.
Gambar tersebut merupakan salah satu dari 25 gambar yang akan ditawarkan untuk dilelong. Selain Brad Pitt yang menjadi model dalam gambar tersebut, motosikal rare tersebut turut mencuri perhatian.
“Untuk penggambaran gambar ini, kami memilih lokasi dimana terdapat pokok yang sangat tinggi. Kami mendapat idea dan menuju ke taman Nasional Redwood di Humboldt County, California.”
“Ketika kami melalui jalan yang dikenali sebagai Avenue of the Giants, saya dengan segera berbaring di atas SUV dan mengambil beberapa gambar Brad Pitt sedang menunggang motosikal”, kata Mark Selinger.
Motosikal Indian Larry tersebut dibina di sebuah kedai yang terdapat di Brooklyn, New York. Motosikal ini juga kebanyakan dijual secara eksklusif. Dalam tempoh satu tahun, sebanyak lapan buah motosikal ini berjaya dijual dan rata-rata pembelinya adalah dikalangan selebriti.
Motosikal milik Brad Pitt tersebut adalah model When Push Comes to Shove, dimana motosikal ini berharga sekitar $65,000 (RM277,582). Manakala harga anggaran untuk gambar yang dilelong tersebut adalah sekitar $5,000 (RM21,352) hingga $7,000 (RM29,893).
Tetapi, gambar tersebut kini telah dibida sebanyak $12,000 (RM51,246), sedangkan masa untuk lelongan masih tinggal lima hari lagi.