Siapa cakap transmisi manual sudah tidak relevan dan akan dilupakan? Pengeluar-pengeluar masih membangunkan teknologi terkini untuk transmisi manual kereta mereka seperti fungsi auto-blip atau rev-matching.
Terbaharu, Kia telah mendedahkan transmisi manual yang menggunakan sambungan elektronik untuk klac, berbanding sistem mekanikal pada kenderaan sekarang. Ianya direka untuk kegunaan kereta hibrid 48-volt jenama itu.
Sistem itu dinamakan Intelligent Manual Transmission (iMT), menjanjikan untuk mengurangkan kadar emisi dan pelepasan karbon selain meningkatkan kecekapan bahan api. Kia juga mendakwa ia akan tetap memberikan rasa semulajadi dan mekanikal pada pedal.
iMT berfungsi dengan starter-generator yang disambung pada tali sawat dan dipasang pada enjin menjadi sebahagian dari sistem hibrid 48-volt.
Sistem ini membolehkan fungsi stop-start boleh diaktifkan untuk mematikan enjin pada kelajuan lebih tinggi untuk tujuan coasting dan menjimatkan bahan api.
Gear yang dipilih akan kekal masuk dan klac dibuka walaupun enjin dimatikan. Jadi, enjin dapat dihidupkan semula dengan lancar apabila pemandu menyentuh pedal minyak di saat berakhirnya tempoh coasting.
Sistem elektrik 48-volt boleh membawa semula kelajuan enjin pada rev yang betul, tetapi jika kelajuan kereta terlalu perlahan dan rev terlalu rendah untuk gear yang sama, ia boleh hidup semula dalam neutral. Perkara sama boleh dilakukan jika klac ditekan.
Kia berkata iMT akan memberikan rasa yang sama dengan klac mekanikal tradisional. Malah, pengeluar itu mendakwa klac ini lebih mudah dikawal untuk mencari biting point dengan kawalan elektrik padanya.
iMT akan dilancarkan pada model-model Kia dengan powertrain hibrid 48-volt Smartstream. Kereta pertama yang akan mendapat iMT ini ialah Ceed 1.6 CRDi diesel hibrid.
Ia juga bakal hadir pada model Rio facelift 1.0-liter T-GDi petrol, dan lebih banyak model akan dilengkapi dengannya menjelang hujung 2020.