Sebagai sebahagian daripada pelaburan besar-besaran yang berjumlah USD11.5 bilion (RM49.4 bilion), Ford sedang merancang untuk meningkatkan produk kenderaan elektrik mereka.
Rancangan ini adalah untuk melancarkan sebanyak 40 kenderaan elektrik pada 2022, yang merangkumi 16 model elektrik sepenuhnya termasuk Ford Mustang Mach-E, Ford F-150 elektrik dan Ford Transit yang akan datang untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Menurut sumber, Ford juga telah mengumumkan hasrat mereka untuk menjadi pengeluar kenderaan yang mesra alam, dengan memastikan produk mereka bebas dari bahan karbon menjelang tahun 2050.
Hal ini akan menjadikan Ford satu-satunya pengeluar kereta Amerika Syarikat yang komited untuk mengurangkan pelepasan CO2 untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Paris Climate Agreement.
Untuk mencapai matlamat ini, Ford pada awalnya akan menumpukan perhatian pada tiga bidang yang menyumbang sekitar 95 peratus pelepasan CO2, termasuk pelepasan yang dihasilkan dari kereta, pembekal, dan kilangnya.
Ford juga telah menetapkan sasaran untuk menggunakan 100 peratus sumber tempatan yang boleh diperbaharui untuk semua kilang pembuatannya secara global pada tahun 2035 seperti tenaga hidro, geothermal, angin, atau solar.
Bagi Ford, bukan mudah untuk mencapai matlamat ini. Menurut laporan kesinambungan yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar tersebut, produk dari mereka menghasilkan 135 juta metrik tan pelepasan CO2.
Namun, beberapa inisiatif telah dibuat dan jumlah pelepasan karbon dari produk mereka telah menurun sebanyak 14 peratus pada tahun 2019. Ekonomi bahan bakar di beberapa model yang paling popular juga telah meningkat.
Dari tahun 2012 hingga 2019, ekonomi bahan bakar untuk Ford F-150 meningkat sebanyak 16 peratus. Dalam tempoh yang sama, ekonomi bahan bakar untuk Ford Escape meningkat 14 peratus dan Ford Expedition sebanyak 30 peratus.
Sumber: Carbuzz.com
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar